MICTH dilantik urus telekomunikasi Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

AYER KEROH 14 Dis. – Melaka ICT Holdings (MICTH) dilantik untuk mengurus pelbagai aspek berkaitan telekomunikasi Negeri Melaka setelah diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Digital Negeri Melaka Bil 1/2020 yang berlangsung di Bilik Mesyuarat MMKN, hari ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali berkata, perkara itu dimuktamadkan bagi mempercepatkan pembangunan teknologi dan pelaksanaan ekonomi digital memandangkan sudah ada keperluan untuk memantapkan penyediaan infrastruktur telekomunikasi di seluruh negeri ini.

Menurutnya, menerusi Majlis Digital Negeri Melaka, MICTH yang juga anak syarikat kerajaan negeri akan bertindak sebagai badan kawal selia telekomunikasi di peringkat negeri yang bertanggungjawab dalam pelbagai aspek.

“Antaranya tanggungjawab yang diberikan ialah menyediakan infrastruktur telekomunikasi meliputi struktur telekomunikasi serta rangkaian gentian optik, serta bekerjasama dengan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi kerajaan negeri lain dalam melaksanakan pembangunan infrastruktur.

“Selain itu, MICTH juga akan menyelaras, memantau dan melaksana projek bersama dengan syarikat telekomunikasi serta syarikat penyedia internet,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasminya, sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, kerajaan negeri sememangnya komited terhadap usaha memperkasakan ekonomi digital yang baharu bagi meningkatkan pendapatan negeri.

Ujarnya, usaha itu digerakkan menerusi inisiatif-inisiatif yang dikenal pasti seperti Melaka Waterfront Economic Zone (MWEZ), Inisiatif Data Raya (Big Data) Negeri Melaka, Smart Melaka sebagai Smart City, e-commerce dan usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) digital.

Views:

1176
Kongsi :
Previous post Melaka rekod kemasukan mendadak kenderaan
Next post Infrastruktur di Merlimau akan dinaik taraf
Ubah saiz-+=