Melaka rekod kemasukan mendadak kenderaan

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

AYER KEROH 14 Dis. –  Sektor pelancongan Melaka mula kembali seperti asal apabila lebih 60 peratus kenderaan direkodkan memasuki negeri ini selepas kerajaan mengumumkan kebenaran rentas daerah dan negeri.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, dalam tempoh tiga hari bermula Jumaat, Sabtu dan Ahad berlaku kenaikan mendadak jumlah kenderaan ke negeri ini.

“Keadaan itu menunjukkan ia kembali kepada asal apabila kira-kira 50,000 hingga 60,000 kenderaan termasuk motosikal dan kereta memasuki Melaka.

“Selepas kerajaan membuka ruang pelancongan kita dapati kenderaan masuk ke Melaka mula (naik) mendadak berbanding semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) betul-betul berkurang tetapi pada hujung minggu ini nampak telah kembali kepada asal,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, di Bukit Beruang, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Hasan berkata, sempena sambutan Hari Natal yang akan disambut pada minggu hadapan, beliau menjangkakan akan berlaku lagi pertambahan kenderaan.

“Oleh itu pihak kami akan melakukan Ops Lancar dengan menempatkan pegawai dan anggota bertugas di lokasi tertentu dan tertumpu di Daerah Melaka Tengah bagi memastikan kelancaran lalu lintas.

“Disamping itu saya ingin menasihati kepada semua pelancong yang memasuki negeri ini agar dapat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan ketika bercuti,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, IPK Melaka mengadakan kempen ‘Jom Bayar Saman’ selama dua minggu bermula esok dengan menawarkan diskaun sehingga 50 peratus selain turut menawarkan hadiah menarik antaranya Proton X70.

“Diskaun itu sah kepada saman trafik kecuali membabitkan saman kompaun, waran tangkap, Ops Selamat dan saman bicara mahkamah serta membabitkan kemalangan. Mereka yang ingin menjelaskan saman boleh ke Ibu Pejabat Polis Daerah serta IPK antara jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang pada hari bekerja,” katanya

Views:

285
Kongsi :
Previous post Didenda RM30,000 terima suapan cap kemasukan warga asing
Next post MICTH dilantik urus telekomunikasi Melaka
Ubah saiz-+=