Didenda RM30,000 terima suapan cap kemasukan warga asing

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

AYER KEROH 14 Dis. – Seorang pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah menerima suapan bagi mendapatkan perakuan cap keluar masuk passport warga asing, dua tahun lalu.

Hakim Datuk Mohd. Nasir Nordin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Muhammad Shafiq Suboh, 29, yang mengaku bersalah sejurus tiga pertuduhan pilihan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah.

Bagi pertuduhan pilihan pertama, tertuduh yang merupakan pegawai imigresen gred KP19 bertugas di JIM di Johor didapati menerima suapan daripada seorang individu bernilai RM360 sebagai dorongan bagi mendapatkan perakuan cop keluar masuk passport warga asing tanpa perlu keluar dari negara.

Manakala mengikut pertuduhan pilihan kedua dan ketiga, tertuduh turut didapati melakukan kesalahan sama melibatkan jumlah suapan masing-masing RM320 dan RM800.

Tertuduh melakukan kesemua kesalahan itu menerusi akaun CIMB Bank Berhad di Taman Mutiara Melaka, Batu Berendam membabitkan tiga transaksi berasingan antara Julai hingga September 2018.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 25(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda sehingga RM100,000 atau keduanya, jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu hukuman ringan dengan alasan baharu berkahwin Mac lalu dan akan menimang cahaya mata sulung, selain isterinya memerlukan sokongannya ekoran sebelum ini pernah mengalami kemurungan.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Irwanshah Abdul Samat, bagaimanapun memohon hukuman setimpal dengan alasan kesalahan tertuduh ‘menggadaikan’ keselamatan negara, selain kes ini turut mendapat perhatian masyarakat.

Sejurus mendengar hujahan kedua pihak, Mohd. Nasir kemudian menetapkan hukuman denda sebanyak RM10,000 atau enam bulan penjara sekiranya gagal membayar denda bagi setiap tiga pertuduhan pilihan berkenaan.

November lalu, SPRM telah menjalankan Ops Selat dengan kerjasama Jabatan Imigresen yang berjaya melumpuhkan aktiviti rasuah melibatkan sindiket yang menyalahgunakan pengesahan cop keluar dan masuk sempadan utama negara.

 

Views:

711
Kongsi :
Previous post Jepun optimis prospek hubungan ekonomi yang lebih kukuh dengan Malaysia
Next post Melaka rekod kemasukan mendadak kenderaan
Ubah saiz-+=