Beli perabot terpakai, bayar seikhlas hati

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

LENDU 24 Julai – “Semua barang yang ada saya tak letakkan harga, ambillah kalau berkenaan dan bayarlah berapa yang ada,” kata peniaga perabot terpakai, Kapten (B) Khairulnizam Kamis, 50.

Katanya, ribuan perabot terpakai termasuk perkakasan dapur itu dijual bermula esok dengan niat untuk menginfakkan barangan terbabit kepada mereka memerlukan.

Menurutnya, jualan infak berkonsepkan Rahmah di kedainya yang terletak di Pekan Masjid Tanah berhadapan Kompleks Japerun Lendu itu menawarkan peluang khusus buat golongan orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal dan asnaf di negeri ini.

“Hari ini, saya buka kedai mahu menyusun barangan perabot untuk memudahkan pelanggan yang datang esok, tetapi mula dibanjiri pelanggan sejak awal pagi tadi.

“Semuanya menerima sambutan di luar jangka apa pun saya hanya memesan siapa yang cepat dia yang dapat dan jika ingin membeli mereka juga perlu sediakan pengangkutan sendiri untuk mengangkut perabot.

“Saya minta maaf jika ada pelanggan yang berkecil hati sebab ramai yang datang kerana bimbang jika lambat, barangan yang diinginkan tiada,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

WhatsApp Image 2023-07-24 at 17.03.58
KEDAI Barang Terpakai beroperasi di Pekan Masjid Tanah diserbu orang ramai sehari sebelum tawaran.

Khairulnizam yang menjalankan perniagaan itu sejak 10 tahun lalu berkata, keseluruhan aset jualan yang diinfakkan itu mencecah hampir ratusan ribu ringgit.

Jelasnya, tindakan itu perlu dilakukan kerana kedai tersebut perlu dikosongkan bagi memberi laluan kepada kerja-kerja menaik taraf bangunan kedai yang akan dijalankan tidak lama lagi.

“Barang di sini terlampau banyak dan kalau nak pindah saya tak tahu nak letak mana jadi saya ambil keputusan untuk menginfakkan barangan ini kepada sesiapa yang memerlukan.

WhatsApp Image 2023-07-24 at 17.07.57
ANTARA perabot yang terdapat di kedai itu.

“Kalau dikirakan aset yang ada ini hampir mencecah ratusan ribu ringgit namun berapa yang saya dapat saya reda dan ikhlaskan hati demi membantu golongan memerlukan.

“Mulai esok, tawaran ini dibuka kepada mereka yang memerlukan dengan operasi bermula dari jam 10 pagi hingga 6 petang sehingga 30 Julai ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

11286
Kongsi :
Previous post PRN Kedah: BN diberikan laluan bertanding di DUN Tanjung Dawai
Next post Hospital Melaka bertemu waris, perjelas kejadian tangan bayi bengkak
Ubah saiz-+=