Belia 4B jadi penggerak agenda TVET

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

TABOH NANING 10 Disember – Gerakan Belia 4B perlu menjadi penggerak bersama dalam membangunkan dan menjayakan agenda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Gerakan Belia 4B boleh memperkasakan TVET dengan menjadi medium penghubung antara kerajaan, industri dan golongan muda bagi menjayakan hasrat terbabit.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, pihaknya meletakkan harapan besar kepada Gerakan Belia 4B agar dapat melahirkan kepimpinan yang memainkan peranan aktif dalam proses pembaharuan itu.

“Apabila menyentuh mengenai TVET, saya sering menegaskan potensi besar bidang ini kepada belia, ini kerana sebahagian besar masyarakat masih mempunyai persepsi bahawa TVET sebagai pilihan kedua untuk individu yang kurang cemerlang daripada segi pencapaian akademik.

“Sebenarnya, stigma itu sudah lapuk ditelan zaman. Kini, grduan TVET terbukti mempunyai peluang pekerjaan yang lebih cerah dalam industri. Buktinya, pada 2022, statistik kebolehpasaran graduan TVET mencapai sehingga 92.5 peratus.

“Saya tidak nafikan mahu mengubah persepsi atau ‘mindset’ ibu bapa dan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk memilih bidang ini sebagai landasan kerjaya adalah satu cabaran besar, ramai menganggap kadar gaji lulusan TVET adalah rendah, saya akui ianya agak sukar pada awalnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Perhimpunan Agung Tahunan Gerakan Belia 4B Malaysia Ke-44 di A’ Famosa Resort, di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Setiausaha Politiknya, Datuk Wira Megat Zulkarnain Omardin.

Hadir sama pada majlis itu Presiden Gerakan Belia 4B Malaysia, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali.

Selain itu beliau juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, Kerajaan Perpaduan melalui pendekatan Malaysia MADANI tidak pernah mengabaikan golongan belia dalam proses pembangunan negara.

Malah katanya, peranan belia amat penting, berikutan itu perhatian terhadap golongan berkenaan diberikan secara menyeluruh tanpa mengira mereka tinggal di bandar, desa atau pedalaman.

“Kerajaan Perpaduan menerusi Belanjawan 2024 turut menyediakan peruntukan terbesar iaitu sebanyak RM393.8 bilion bagi menyediakan pelbagai inisiatif yang sudah dikhususkan termasuk untuk menangani isu yang dihadapi belia seperti pengangguran dan kos sara hidup tinggi.

“Apa yang lebih penting adalah peluang luas untuk direbut golongan belia yang bersemangat memajukan diri dan meningkatkan pendapatan menerusi latihan serta peluang pekerjaan lebih baik,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

994
Kongsi :
Previous post Lelaki bunuh ibu bapa direman seminggu
Next post Kes Zayn Rayyan: Polis ambil 228 DNA penduduk Apertment Idaman
Ubah saiz-+=