Belia penentu kemajuan ekonomi negeri

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

AYER KEROH 27 Ogos – Kerajaan negeri menyeru agar golongan belia Melaka mempersiapkan diri dalam berdepan gerak kerja baharu bersesuaian dengan keadaan situasi ekonomi semasa.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali berkata, ianya perlu bagi memastikan dasar pembangunan belia dapat direalisasikan secara holistik serta memenuhi harapan mereka.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga amat berharap golongan belia dapat bersama- sama membantu dalam mengangkat semula negeri ini menjadi ‘The Great of Melaka’ seperti suatu masa dahulu.

“InsyaAllah Melaka akan ada satu koridor baharu dan saya berharap segala pandangan bagaimana kita boleh memajukan dan mengangkat Melaka sebagai sebuah negeri tersohor.

“Saya tidak mahu golongan belia ketinggalan membantu kerajaan negeri kerana saya yakin mereka mempunyai pandangan cukup bernas dalam membantu memajukan Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Majlis Perundingan Belia Negera Peringkat Negeri Melaka, Sidang I, Penggal Ke 33 Sesi 2019-2020.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Dr. Hasim Hasan; Pengerusi Jawatankuasa NGO, Pembangunan Belia dan Sukan negeri Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen dan Presiden Majlis Gabungan Belia Melaka Mohd Ridwan Mohd Ali.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, kerajaan negeri amat komited dan sentiasa meletakkan golongan belia sebagai aset penting negara amnya dan negeri khususnya kerana golongan ini akan menentukan hala tuju negara .

“Sehubungan dengan itu, kerajaan negeri bersama agensi Kerajaan Persekutuan yang lain menyokong penuh serta menyambut baik pelaksanaan program dan pelan pembangunan belia yang bakal dilaksanakan kelak.

“Kerajaan negeri juga telah bersetuju untuk memberi sumbangan kepada setiap Cawangan Belia Negeri Melaka sebagai tanda sokongan penuh kepada pembangunan belia negeri ini,” katanya yang turut memaklumkan setiap cawangan mestilah sertakan bersama ROI dan penyata kewangan mereka.

Views:

262
Kongsi :
Previous post COVID-19: Tiga kes baharu di Melaka
Next post Norazlan tidak tolak untuk kekal bersama MU
Ubah saiz-+=