Belum ada laporan kenaikan harga telur ayam – KPDNHEP

Masa Membaca:1 Minit, 0 Saat

AYER KEROH 24 Julai – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPNHEP) Melaka tidak menerima sebarang laporan kekurangan bekalan atau kenaikan harga telur ayam di negeri ini.

Ia susulan penutupan operasi antara kilang pengeluar telur ayam terbesar negara di Durian Tunggal selama dua minggu bermula petang semalam sehingga 6 Ogos ini.

Berdasarkan notis dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang tular hari ini, tertera nama kilang berkenaan LTK (Melaka) Sdn. Bhd. beralamat di Batu 11 1/2 di Durian Tunggal.

Pengarah KPDNHEP Melaka, Norena Jaafar berkata, terdapat lebih lima kilang pengeluaran telur di negeri ini dan semua kilang berkenaan mampu menyediakan bekalan bukan sahaja di Melaka malah ke negeri lain di Semenanjung Malaysia.

“Meskipun sebuah kilang di Durian Tunggal ditutup (akibat kes positif dikesan dalam kalangan pekerja), tiada pengurangan bekalan stok telur berlaku di negeri ini.

“Setakat ini, harga telur di pasaran masih munasabah dan tidak berlaku kenaikan harga,” katanya,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI).

Mengulas lanjut beliau berkata, pihaknya akan terus melakukan pemantauan harga telur ayam di pasaran.

Terdahulu, MHI melaporkan sebuah kilang pengeluaran telur di Durian Tunggal ditutup sementara susulan 20 pekerja kilang berkenaan dikesan positif COVID-19.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1329
Kongsi :
Previous post (KEMAS KINI) COVID-19: Kilang telur di Durian Tunggal ditutup dua minggu
Next post (EKSKLUSIF) Negara dijangka kekurangan 21 juta telur ayam
Ubah saiz-+=