(EKSKLUSIF) Negara dijangka kekurangan 21 juta telur ayam

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

AYER KEROH 24 Julai – Negara dijangka mengalami kekurangan bekalan 21 juta telur ayam dalam tempoh dua minggu susulan penutupan sebuah kilang pengeluaran telur di Durian Tunggal bermula semalam sehingga 6 Ogos ini.

Pengurus kilang berkenaan LTK (Melaka) Sdn. Bhd., Loo Eng Seng berkata, kiraan kasar itu berdasarkan keupayaan kilang berkenaan mengeluarkan 1.5 juta telur ayam sehari kepada pembekal di seluruh negara selain dieksport ke Singapura.

“Sekarang ini, arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kita kena tutup operasi dan kilang tidak boleh jual telur-telur ini di pasaran.

“Sehari kita mengeluarkan 1.5 juta telur, jadi bayangkanlah kalau ditutup (dua minggu)?. Ini akan merugikan syarikat kerana telur akan busuk dan tidak boleh dijual,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI) di sini hari ini.

Terdahulu, MHI hari ini melaporkan sebuah kilang pengeluaran telur di Durian Tunggal ditutup sementara selama dua minggu susulan 20 pekerja kilang berkenaan dikesan positif COVID-19.

Exco Kesihatan, Datuk Rahmad Mariman berkata, arahan penutupan itu bagi membolehkan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) mengenal pasti punca jangkitan dan mengesan kontak rapat pekerja yang positif.

Mengulas lanjut Eng Seng berkata, selain mengalami kerugiaan, pihaknya juga bimbang berlaku kekurangan bekalan telur di pasaran sekaligus menyebabkan kenaikan harga yang mendadak.

“Mungkin harga telur boleh naik antara 10 hingga 20 peratus namun itu juga bergantung kepada permintaan. Kalau bekalan kurang tapi permintaan kurang mungkin harga tidak naik.

“Tapi kalau permintaan juga tinggi, harga telur tidak mustahil akan naik mendadak,” katanya.

Tambahnya, pihak ibu pejabat syarikat kini sedang mengemukakan rayuan kepada KKM sekiranya mereka dibenarkan menjual telur berkenaan untuk mengimbangi harga bekalan asas itu di pasaran.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1638
Kongsi :
Previous post Belum ada laporan kenaikan harga telur ayam – KPDNHEP
Next post (EKSKLUSIF) Penternak telur ayam dijangka rugi RM18 juta
Ubah saiz-+=