(EKSKLUSIF) Penternak telur ayam dijangka rugi RM18 juta

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

AYER KEROH 24 Julai – Penutupan 14 hari sebuah kilang pengeluar telur ayam di Durian Tunggal susulan penularan COVID-19 dalam kalangan pekerjanya mungkin mengakibatkan ia kerugian sehingga RM18 juta.

Pengerusi Penternak-Penternak Negeri Melaka Lee Yoon Yeau berkata, jumlah itu dipercayai terpaksa ditanggung pemilik kilang untuk kos membeli dedak ayam bernilai RM8 juta serta RM10 juta nilai keseluruhan telur ayam yang tidak dapat dijual.

“Jangan cakap mengenai akan berlaku kekurangan bekalan telur saja, tapi bayangkan telur-telur ayam yang ada di kilang ini nak dihantar ke mana jika kilang ditutup selama 14 hari.

“Sehari pengeluaran telur lebih satu juta, kalau dua minggu kilang ini terpaksa tanggung kos RM8 juta untuk dedak ayam dan RM10 juta kos bagi telur yang tidak dapat dijual,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini di sini hari ini.

Menurutnya, semua telur berkenaan tidak boleh disimpan sehingga 14 hari kerana ia akan menjadi busuk sehingga akhirnya terpaksa dibuang.

Jelasnya, beliau difahamkan tempat simpanan telur sedia ada di kilang itu juga tidak dapat menampung hasil pengeluaran telur setiap hari.

“Tak cukup tempat nak simpan semua telur sebab ayam akan bertelur setiap hari dan biasanya telur akan dijual secara harian.

“Pada masa yang sama, dedak tetap kena beli untuk bagi ayam makan dan di kilang itu sahaja, saya difahamkan terdapat lebih dua juta ekor ayam,” katanya.

Menurut Yoon Yeau, di Melaka sahaja terdapat lima kilang pengeluar telur ayam yang mampu membekalkan lebih lapan juta telur setiap hari ke seluruh negara.

Terdahulu, MHI hari ini melaporkan sebuah kilang pengeluaran telur di Durian Tunggal ditutup sementara selama dua minggu susulan 20 pekerja kilang berkenaan dikesan positif COVID-19.

Berdasarkan notis dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang tular hari ini, tertera nama kilang berkenaan LTK (Melaka) Sdn Bhd beralamat di Batu 11 1/2 di Durian Tunggal yang ditutup bermula 3 petang semalam.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

728
Kongsi :
Previous post (EKSKLUSIF) Negara dijangka kekurangan 21 juta telur ayam
Next post Unifi tawar siaran percuma Olimpik
Ubah saiz-+=