Bendahari Kehormat MUSA dilantik CEO Melaka United FC

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

KRUBONG 4 Disember – Bendahari Kehormat Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) Datuk Mohd Saiful Mat Sapri dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Melaka United Football Club berkuatkuasa hari ini.

Beliau dilantik jawatan itu selepas Melaka United melengkapi proses penswastaan kelab bermula musim 2021.

Perkara itu diumumkan Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) Datuk Wira Yusoff Mahadi di Stadium Hang Jebat di sini hari ini.

Mohd Shaiful berkata, amanah yang diberikan hasil keputusan barisan ahli lembaga pengarah (BOD) yang diketuai Presiden MUSA, Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali akan dipikul dengan penuh dedikasi dan rasa tanggungjawab untuk membawa pasukan MUFC ke arah yang lebih baik.

Katanya, untuk peringkat awal beliau akan mengadakan perbincangan bersama Mohd Yusoff dan Ketua Jurulatih Melaka United FC Zainal Abidin Hassan bagi membentuk pasukan yang mantap menjelang musim hadapan.

“Walaupun bajet yang minima, namun pembentukan pasukan biarlah digeruni dan pemilihan pemain import serta pemain lokal itu bakal menerima gaji yang setimpal dengan apa yang mereka akan dapat.

“Ada beberapa pemain yg digugurkan dan ada dikekalkan, cuma pengorbanan tangga kejayaan, yang mana disambung tentu ada pemotongan gaji tetapi diharapkan ia akan menemui kejayaan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, setakat ini perbincangan mengenai persiapan pasukan sudah mencapai 40 peratus dan pengumuman itu akan dibuat selepas mendapat keputusan sepakat.

“Yang mana pemain dikekalkan kita sudah mengadakan pertemuan dan minggu hadapan kita akan berbincang tambahan dari luar dan seterusnya membuat perbincangan tentang pemain import.

“Kita akan melaksanakan perbincangan peringkat demi peringkat dan saya rasa hasil keputusan dijangka lengkap pada 15 Disember,” katanya.

Dalam perkembangan sama, turut diumumkan organisasi teknikal MUFC yang akan diketuai Pengurus Pasukan iaitu Mohd Akram Abdullah.

Untuk rekod, bagi saingan Liga Super 2021, sasaran yang ditetapkan adalah menamatkan tempat keempat hingga keenam liga berdasarkan kemampuan prestasi dan kewangan yang ditetapkan.

Manakala bagi saingan Piala FA dan Piala Malaysia pula sasaran yang diletakkan adalah mara sejauh mungkin, jika salah satu pertandingan ini Melaka United FC mampu mara ke perlawanan akhir, ia adalah pencapaian terbaik buat Ketua Jurulatih.

Views:

1462
Kongsi :
Previous post Pemandu lori ke mahkamah, cederakan isteri
Next post Naib Canselor UTeM wakili Malaysia ke Forum Kepimpinan Wanita IPT
Ubah saiz-+=