Bercuti di Melaka serendah RM69 sahaja!

Masa Membaca:1 Minit, 57 Saat

IPOH 22 April – Pelancong domestik boleh bercuti ke Melaka dengan pakej pelancongan serendah RM69 sahaja!

Tawaran itu merupakan antara yang terkandung menerusi kempen promosi ‘Melaka For Malaysian 1.0’ yang dilancarkan bermula 25 Mac hingga 31 Disember 2022.

EXCO Pelancongan Negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, kempen tersebut diadakan bertujuan untuk memulihkan sektor pelancongan Melaka di samping menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini.

Katanya, menerusi kempen itu, semua rakyat Malaysia berpeluang untuk bercuti di Melaka dengan pelbagai tawaran istimewa termasuk diskaun harga sehingga 50 peratus bagi premis penginapan dan tempat tumpuan pelancong.

“Melalui kempen ini, terdapat 21 pakej-pakej pelancongan yang menarik yang ditawarkan dengan harga serendah RM69 seorang.

“Selain itu, terdapat 40 premis penginapan pelancong yang memberikan diskaun sehingga 50 peratus yang boleh dinikmati pelancong, merangkumi hotel bertaraf 5 Bintang, hotel bajet, resort, chalet mahupun homestay.

“Tempat-tempat tarikan di Melaka juga menawarkan diskaun sehingga 50 peratus di mana para pelancong boleh menerokai Melaka dengan harga yang lebih berpatutan, selain terdapat tawaran pembelian tiket Beli 1 Percuma 1 yang perlu direbut sempena kempen ini.

“Kempen ini juga menawarkan baucar diskaun sehingga 30 peratus di 30 buah restoran dan kafé yang menyertai kempen Melaka For Malaysian 1.0 yang mana baucar ini boleh didapati di kaunter Tourism Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas merasmikan Seminar dan Sesi Padanan Niaga Semarak Pelancongan Revitalise & Rejuvenate Melaka 2022, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengarah, Tourism Perak Management Berhad Datuk Mohamad Kamil Shafie’, Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan Melaka Sa’ari Basiron dan Pengurus Besar Tourism Perak Management Berhad Zuraida Md. Taib.

Muhammad Jailani berkata, sepanjang tahun lalu, Melaka telah menerima 2.67 juta pelancong di mana daripada jumlah tersebut seramai 154,014 pelancong Perak telah datang melancong ke negeri ini.

Katanya, bagi merealisasikan sasaran 5.6 juta pelancong tahun ini, kerajaan negeri telah mengatur telah mengatur Roadshow Festival Semarak Pelancongan Negeri Melaka di seluruh negara yang mana pembukaannya telah diadakan pada 25 – 27 Mac 2022 di JB City Square, Johor Bahru.

Ia diikuti Sambutan Semarak Pelancongan Negeri Melaka di Causeway Link, 15-16 April khusus bagi menyambut kehadiran pelancong Singapura ke Melaka.

Program promosi juga diadakan di Perak pada 21 April dan akan diteruskan di Kuala Lumpur, Kedah, Perlis, Negeri Sembilan, Pahang, Kelantan, Sabah dan Sarawak.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1208
Kongsi :
Previous post Polis nafi tidak saman individu tidak pakai pelitup muka semasa Ramadan, Syawal
Next post Tajuk-Tajuk Utama Akhbar: Jumaat 22 April 2022
Ubah saiz-+=