
BERMULA GAJI RM150, KINI GURU JAIM BUKAN LAGI PENDIDIK ‘KELAS KEDUA’ – TOKOH GURU
BANDA HILIR 3 Julai – Bermula dengan gaji cuma RM150 sebulan ketika mula berkhidmat pada 1985, penerima Tokoh Guru Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) ini menyifatkan usaha berterusan Kerajaan Negeri membela kebajikan guru JAIM adalah satu pengiktirafan amat bermakna.
Shamsiah Zakariah, 61, merupakan bekas Guru Besar Sekolah Rendah Agama (SRA) JAIM Paya Rumput yang bersara pada Disember tahun lalu selepas hampir 40 tahun berkhidmat dalam dunia pendidikan Islam.
Katanya, perubahan berlaku masa kini jauh berbeza berbanding ketika beliau memulakan kerjaya sebagai guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) yang pada ketika itu dianggap sebagai pekerjaan ‘kelas kedua’ oleh segelintir pihak.
“Namun pelbagai inisiatif dilaksanakan Kerajaan Negeri kini berjaya mengangkat martabat profesion itu. Saya bersyukur kerana hari ini guru-guru JAIM semakin dihargai, dulu iaitu 40 tahun lalu, kami bermula dengan gaji sekitar RM150 sahaja sebulan, tetapi sekarang guru baharu menerima sekitar RM1,700 dengan waktu bertugas yang lebih teratur.
“Saya berasa terharu apabila mendengar komitmen Ketua Menteri untuk terus meningkatkan taraf guru JAIM kerana perkara ini sudah lama diperjuangkan,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui pada Sambutan Hari Guru Tahun 2026 dan Anugerah Kecemerlangan Akademik Sekolah Sesi 2025 Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) di sebuah hotel di Melaka, semalam.
Terdahulu, Shamsiah yang menerima Anugerah Tokoh Guru JAIM turut membawa pulang wang RM5,000 dan hadiah pakej Umrah bernilai RM10,000 beserta plak serta sijil penghargaan.
Pengiktirafan tersebut disampaikan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh diiringi Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Negeri Datuk Rahmad Mariman serta Pengarah JAIM Datuk Md Azhan Samat serta kenamaan lain.
Berasal dari Ramuan China Besar, Masjid Tanah, Shamsiah berharap usaha memperkasa guru JAIM akan diteruskan supaya generasi pendidik selepas ini menikmati kebajikan yang lebih baik, sekali gus memartabatkan pendidikan agama di Melaka.
Bekas Pengerusi Persatuan Guru JAIM Negeri Melaka itu berkata, sepanjang perkhidmatannya pelbagai usaha dilakukan bagi memperjuangkan aspek skim perkhidmatan, gaji dan kebajikan guru agama.
Mengimbau permulaan kerjayanya, Shamsiah berkata beliau pernah menerima tawaran pekerjaan lain pada awalnya, namun memilih untuk kekal sebagai guru KAFA demi memenuhi hasrat arwah bapanya yang juga seorang pendidik.
“Arwah ayah sangat berharap saya menjadi guru, walaupun gaji kecil ketika itu, saya bertahan dan tidak sangka akhirnya dapat berkhidmat selama 40 tahun. Ganjaran sebenar seorang guru bukan terletak pada jumlah gaji semata-mata, sebaliknya keberkatan hasil mendidik anak-anak dengan penuh kasih sayang dan keikhlasan.
“Saya selalu pesan kepada guru-guru muda, jangan melihat gaji semata-mata, mendidik agama adalah satu amanah, murid mungkin lupa apa yang kita ajar, tetapi mereka akan ingat bagaimana kita mendidik mereka. Jadi didiklah dengan kasih sayang, jadilah teladan dan sentiasa tambah ilmu supaya dapat melahirkan generasi yang berakhlak mulia,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


