‘Berpada-pada terima bantuan’

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

BUKIT PALAH 7 Julai – Tiga sifat perlu diterapkan setiap penerima bantuan iaitu qana’ah, jujur dan tidak malu.

Mufti Melaka, Datuk Wira Abdul Halim Tawil berkata, golongan terbabit perlu bersikap qana’ah iaitu merasa cukup dan reda atas bantuan diberikan.

“Penerima perlu ada perasaan qana’ah iaitu menerapkan ambil apa yang perlu saja serta memahami ada pihak lain juga memerlukan bantuan.

“Mereka juga perlu jujur serta jangan segan untuk memaklumkan situasi sebenar dihadapi hingga terputus bekalan makanan dan sebagainya kepada pihak berkaitan.

“Kita faham apa berlaku dalam tempoh ini malah ada juga (penerima) malu dan segan selain ada sebahagian pula menjadi tamak,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis penyampaian inisiatif Musa’adah Muhaffaz ‘Alamy COVID-19 disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md. Ali di Pusat Islam MAIM, di sini, semalam.

Abdul Halim berkata, biarpun tidak diketahui bila cabaran pandemik COVID-19 akan berakhir, masyarakat perlu sentiasa berfikiran positif dan tabah menempuh dugaan.

“Tidak kisah apa agama, bangsa dan kepercayaan sekali pun, jangan ada perasaan putus asa di dalam diri masing-masing,” katanya.

Beliau turut menasihati semua pihak perlu menyerahkan diri kepada Allah dengan berdoa dan bermunajat sebagai panduan utama dalam memerangi pandemik COVID-19.

“Saya juga menyeru masyarakat wujudkan hubungan akrab dan saling membantu antara jiran tetangga.

“Dalam konteks Islam kita digesa tolong-menolong dalam kebaikan dan ketaqwaan, bukan tolong-menolong dalam permusuhan dan dosa.

“Ini kerana janji Allah menerusi sabda nabi, pertolongan Allah akan datang selama mana manusia itu tolong-menolong sesama manusia,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

327
Kongsi :
Previous post Sedapnya ‘membawang’
Next post Pegawai kerajaan rugi RM370,000 diperdaya Macau Scam menyamar LHDN
Ubah saiz-+=