Bersatu hasrat sertai Muafakat Nasional – Zahid Hamidi

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

KUALA LUMPUR, 30 Julai – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini berkata Bersatu berhasrat untuk menyertai Muafakat Nasional (MN), sebuah gabungan UMNO dan PAS.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Presiden Bersatu, menyatakan hasrat tersebut dalam pertemuannya dengan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) di Bangunan Parlimen tengah hari semalam, kata Ahmad Zahid.

“Hasrat Bersatu itu akan diperbincangkan dengan pihak PAS untuk diperhalusi,” kata presiden UMNO itu dalam satu kenyataan.

Beliau berkata Jawatankuasa Induk MN sebelum ini telah memutuskan untuk UMNO dan PAS memberi keutamaan bagi memperkukuhkan MN.

“Saya akan menyerahkan kepada Jawatankuasa Induk MN untuk mempertimbangkan hasrat Bersatu sekiranya berkemampuan untuk memperkukuhkan lagi MN demi kepentingan rakyat dan negara,” katanya.

Di dalam kenyataan itu, Ahmad Zahid juga menyatakan UMNO membuat keputusan untuk tidak menyertai Perikatan Nasional (PN)  tetapi menyokong kerajaan PN berlandaskan sokongan Ahli Parlimen dan ADUN UMNO dan BN dalam pembentukan kerajaan pusat dan beberapa kerajaan negeri.

Bercakap kepada media di perkarangan Kompleks Mahkamah di sini, beliau berkata: “Ini (sidang media) bukan pengumuman untuk menarik diri daripada kerajaan PN. Keputusan saya di sini adalah untuk mengumumkan bahawa kita tidak akan menyertai pembentukan PN (secara rasmi)”.

“Keputusan kami adalah untuk tidak menjadi anggota komponen PN jika gabungan itu didaftarkan,”  katanya.

Beliau berkata keputusan itu telah diputuskan oleh Majlis Tertinggi UMNO pada 24 Julai.

Dalam pada itu, ketika ditanya adakah UMNO akan bertanding atas tiket MN memandangkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah telah dibubarkan, Ahmad Zahid berkata:

“Tidak wujud MN di Sabah setakat ini tetapi kita mempunyai BN dan UMNO Sabah yang mana UMNO Sabah telah diberikan kuasa autonomi maka sesuatu pertimbangan akan saya perbincangkan terutamanya dengan kepimpinan UMNO Sabah dan juga Tan Sri Musa Aman sendiri serta rakan-rakan lain yang memimpin parti politik di Sabah yang bersama-sama BN.” – BERNAMA

Views:

409
Kongsi :
Previous post DUN Sabah dibubarkan
Next post MAH atur strategi perkasa industri perhotelan
Ubah saiz-+=