MAH atur strategi perkasa industri perhotelan

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

AYER KEROH 30 Julai – Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Melaka mengambil inisiatif mengatur pelbagai strategi bagi memperkasa industri perhotelan negeri ini selepas dilanda pandemik COVID-19.

Presidennya, Khairul Nizam Kasim berkata pelbagai pendekatan telah diambil pihaknya menerusi pelan strategik setiap hotel di Melaka melalui kolaborasi pakej pelancongan dan lokasi tarikan di Melaka.

Ujarnya, dalam memperkasa sektor terbabit jalinan kerjasama erat diperlukan menerusi Tourism Melaka bagi mempromosi pelancongan domestik di negeri ini.

Menurutnya, sambutan pelancongan domestik di Melaka melalui tempahan dan kunjungan di hotel negeri ini merekodkan sebanyak 25 peratus selepas sektor terbabit dibenar operasi selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“MAH juga mengambil inisiatif menjalankan latihan di Pusat Pendidikan Latihan Persatuan Hotel Malaysia (MAHTEC) bagi memastikan mutu perkhidmatan perhotelan diperkasa.

“Dalam meningkatkan pasaran perhotelan ini MAH menggalakkan kalangan ahli bagi memperbaharui dan menaik taraf setiap kemudahan hotel bagi menarik pelancong.

“Malah kami turut berkongsi maklumat terkini mengenai sistem hotel dan perkhidmatan setanding arena antarabangsa,”katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI).

Seiring dengan membangunkan sektor terbabit pelbagai cadangan telah diusul Kerajaan Persekutuan bagi memberi perhatian kepada pembangunan ekonomi sektor terbabit.

Menurut Khairul, pihaknya berharap agar pihak terlibat memberi perhatian bagi membantu pihak industri perhotelan bagi menjana pendapatan di negeri pelancongan ini.

“Segala perkara telah diluahkan kepada kerajaan dan kita harap agar perkara ini dibincangkan di peringkat menteri agar pihak yang dipertanggungjawabkan mampu membantu golongan di sektor ini, katanya.

Views:

593
Kongsi :
Previous post Bersatu hasrat sertai Muafakat Nasional – Zahid Hamidi
Next post Cubaan seludup 1,500 ekor burung murai tumpas
Ubah saiz-+=