Sorting by

×

Cubaan seludup 1,500 ekor burung murai tumpas

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

BANDA HILIR 30 Julai – Cubaan menyeludup keluar 1,500 ekor burung murai kampung tumpas apabila berjaya ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Negeri Melaka dan Negeri Sembilan awal pagi tadi.

Pengarah Maritim Negeri Melaka & Negeri Sembilan, Kepten Maritim Haris Fadzillah Abdullah yang juga Ketua Gugus Tugas Sektor 6 Op Benteng Laut, berkata dalam operasi khas sekitar jam 2.15 pagi itu pihaknya telah menahan dua buah bot yang kelihatan mencurigakan.

Hasil serbuan mendapati bot berkenaan dinaiki dua warga tempatan bersama dua Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dan dua warga tempatan bersama muatan burung berkenaan yang cuba diseludup keluar ke Indonesia.

“Dalam tangkapan tersebut, bot peronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan rondaan dalam operasi khas di sekitar perairan itu, telah mengesan dua bot fiber yang sedang merapat antara satu sama lain dalam keadaan yang mencurigakan.

“Anggota-anggota penguatkuasa Maritim Malaysia menyerbu dan memeriksa kedua-dua bot seterusnya menahan bot fiber itu di kedudukan pada jarak kira-kira 1.9 batu nautika Barat Daya Pulau Besar, Melaka,” katanya.

Tambah beliau, pemeriksaan selanjutnya mendapati kesemua suspek bertemu di tengah laut untuk menyeludup keluar burung Murai terbabit dan hasil pemeriksaan lanjut mendapati dua PATI Indonesia terbabit tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Kesemua suspek lelaki berumur antara 33 tahun hingga 55 tahun itu telah ditahan, manakala burung-burung bersama dua bot fiber tanpa nombor pendaftaran dengan enjin sangkut jenis Yamaha 200 kuasa kuda dan Mercury 115 kuasa kuda telah dirampas bagi siasatan lanjut mengikut Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2012 dan Akta Imigresen 1959/63.

“Berdasarkan siasatan awal, saya percaya kedua-dua bot yang ditahan itu menjalankan aktiviti penyeludupan burung untuk dipasarkan di Indonesia yang mendapat permintaaan tinggi, mereka juga disyaki didalangi sindiket warga tempatan.

“Nilai keseluruhan rampasan termasuk bot dianggarkan lebih RM300,000,” katanya.

Beliau menegaskan pihaknya akan terus meningkatkan operasi penguatkuasaan bagi membenteras dan menyekat aktiviti jenayah rentas sempadan di perairan Melaka dan Negeri Sembilan, dan meminta orang ramai menyalurkan jenayah dan kecemasan di laut di talian Pusat Operasi Maritim 06-3876730 dan 999 yang beroperasi secara 24 jam.

Views:

459
Kongsi :
Previous post MAH atur strategi perkasa industri perhotelan
Next post Pelan infrastruktur digital akan dibangunkan secara menyeluruh
Ubah saiz-+=