Bersyukur beli beras murah
AYER KEROH 20 September – Jualan beras putih tempatan (BPT) 10 kilogram (kg) pada harga murah menerusi Jualan Agro Madani bermula 20 September ternyata memberi kelegaan kepada orang ramai.
Program anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) itu menawarkan beras tempatan 10kg pada harga RM26 sahaja.
Tinjauan Melaka Hari Ini di Agrobazaar Kedai Rakyat Taman Tasik Utama, di sini, pada Rabu, menyaksikan orang ramai berpusu-pusu dan beratur panjang seawal jam 8 pagi untuk mendapatkan bekalan makanan asas itu.
Seorang pekerja swasta, Fauziah Jebah, 40, ketika ditemui bersyukur apabila dapat menjadi pelanggan terakhir membeli beras berkenaan pada harga jauh lebih rendah berbanding beras putih import.
“Saya dapat maklumat daripada perkongsian rakan di ‘group whatsapp’, jadi saya minta kebenaran daripada tempat kerja untuk datang sini membeli beras, alhamdulillah biarpun orang terakhir beratur dapat juga beli beras ini.
“Mana nak dapat dengan harga RM26 untuk 10 kilogram, semalam saya pergi pasar raya sekampit beras ini harganya RM48, jadi saya terpaksa batalkan niat untuk beli beras,” katanya.
Seorang suri rumah, Suhana Mohd Nor, 43, dari Batu berendam, sanggup beratur seawal jam 8 pagi hanya untuk membeli beras tempatan berkenaan.
“Saya awal pagi sudah datang beratur, masa tu kedai belum buka lagi, tetapi demi mendapatkan beras yang murah saya sanggup datang awal.
“Alhamdulillah, penantian membuahkan hasil, cumanya saya sarankan FAMA sediakan lebih banyak bekalan selepas ini kerana ada juga yang beratur tapi tidak dapat membeli beras kerana stok sudah habis,” katanya.
Sementara itu, pemilik kedai Mohd Hazwan Baharom, 35, bersyukur inisiatif itu memberi peluang kepadanya untuk menjual beras tempatan sekali gus membantu pengguna yang memerlukan.
“Alhamdulillah sambutan sangat baik, dalam masa satu jam sahaja beras sudah habis dijual, lebih tiga bulan kedai saya tidak dapat bekalan beras tempatan ini.
“Terima kasih kepada FAMA dan sebagai peniaga saya harap program sebegini diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan rakyat khususnya golongan memerlukan mendapat bekalan beras dengan harga berpatutan,” katanya.
Pada program itu, turut diadakan jualan ayam mentah (seekor) dan telur (sepapan) dengan potongan harga RM2 setiap pembelian, selain terdapat juga set kombo (ayam seekor, sawi seikat, kacang panjang seikat dan terung satu pek) dengan harga RM20.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.