Berzikir dan baca al-Quran rahsia Mainab sentiasa sihat

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

BUKIT KATIL 6 Julai – Amalan berzikir serta membaca al-Quran membuatkan seorang warga emas, Mainab Rahmat dikurniakan tubuh badan yang sihat.

Menyambut ulang tahun kelahirannya ke-100 hari ini, Mainab yang berasal dari Jalan Tun Kudu di sini turut mengamalkan pemakanan yang sihat setiap hari.

Mainab sentiasa sihat tanpa mengidap sebarang penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi atau jantung.

Lahir pada 6 Julai 1920, kehidupan Mainab sentiasa ditemani alunan zikir serta potongan ayat al-Quran yang menjadi amalannya, terutama ketika bersendirian di rumah.

Berikutan faktor usianya, kedua mata Mainab kini mula kabur, pendengarannya kurang, manakala kaki kanannya pula sakit ketika menunaikan haji beberapa tahun lalu dan kini dia hanya mampu berkerusi roda ketika di rumah.

“Kalau nak ikutkan pemakanan, setiap hari saya akan sarapan dengan teh tarik atau kopi beserta roti canai telur.

“Manakala, tengah hari saya lebih gemar makan ulam-ulaman, sambal goreng, ikan masin, sayur masak tumis air serta ikan masak rebus asam,” katanya.

Mainab berkata demikian ketika ditemui pada majlis hari lahirnya yang ke-100 di Jalan Tun Kudu, hari ini.

Majlis tersebut diraikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri, Tun Datuk Seri (Dr) Haji Mohd Ali Mohd Rustam bersama isteri, Toh Puan Hajah Asmah Abdul Rahman.

Ketika ditanya mengenai Mohd Ali, Mainab berkata, bekas Ketua Menteri Melaka itu adalah seorang budak kampung yang baik dan selalu pergi ke masjid untuk solat.

“Setiap Jumaat, apabila dia (Mohd Ali) lalu di hadapan rumah saya untuk ke masjid, arwah suami saya (Allahyarham Mohamad Lamit) selalu panggil dia dan beri duit satu sen.

“Tiap-tiap minggu dia akan beri ‘Dak Ali’ duit satu sen. Alhamdulillah ‘ini jam’ (sekarang) Dak Ali dah jadi ‘orang besar’ (Yang di-Pertua Negeri Melaka). Saya pun tumpang gembira,” katanya.

Mainab merupakan ibu kepada 13 orang anak iaitu tujuh lelaki dan enam perempuan.

Views:

604
Kongsi :
Previous post Covid-19: Tiada kematian direkod 22 hari berturut-turut – KP Kesihatan
Next post Tindakan banteras pendatang tanpa izin perlu dihormati semua pihak – KPISM
Ubah saiz-+=