Besar makna sepeket beras, sepapan telur

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

KESIDANG 30 Julai – “Besar maknanya sumbangan ini kepada saya, barangan dapur ini amat membantu kami sekeluarga,” itu katanya penerima sumbangan Roswati Hussin, 49.

Menurut ibu kepada lima anak itu termasuk seorang anak orang kurang upaya (OKU) itu, sumbangan yang diberikan badan bukan kerajaan (NGO) itu sedikit sebanyak dapat mengurangkan kos perbelanjaan barangan dapur.

“Jauh disudut hati amat bersyukur apabila diberitahu akan ada sumbangan barangan dapur, dengan keadaan suami yang hanya bekerja sebagai buruh kasar sudah pasti kewangan terhad, malah apabila cuaca hujan seperti ini tidak dapat bekerja dan tiada gaji.

“Kebiasaan barangan dapur saya beli apa yang diperlukan sahaja secara sedikit demi sedikit. Apabila ada sumbangan telur, beras dan beberapa lagi barangan, duit yang perlu dibelanjakan untuk itu dapat digunakan bagi perkara lain,” katanya.

Suri rumah itu ditemui selepas program Jejak Du’afa Julai 2023 di Rumah Pangsa Kampung Padang, di sini, semalam.

Majlis sumbangan itu disempurnakan Pengerusi Global Peace Mission (GPM) Melaka Mohd Fairus Ahmad dan Pengurus Bank Muamalat Cawangan Cheng, Noor Hadi Bujang.

Bagi seorang lagi penerima, Noor Adilah Aida Hamzah, 30, berkata, dalam situasi kenaikan harga barang, sumbangan yang diterima sedikit sebanyak dapat mengurangkan kos perbelanjaan dapur.

“Jika sebelum ini kalau ada RM250, barangan dapur dapat dibeli dalam kuantiti banyak tetapi kini tidak lagi. Sebab itulah sumbangan daripada pihak prihatin sebegini amat membantu kami.

“Contohnya, dengan telur 30 biji ini sekurang-kurangnya dapat untuk dibuat lauk seminggu, sekali gus dapat mengurangkan beban perbelanjaan. Saya amat berterima kepada pihak yang terbabit kerana sudi berkongsi rezeki,” kata ibu kepada empat anak itu.

Sementara itu, Mohd Fairus berkata, pada program itu seramai 103 orang penerima menerima barangan dapur membabitkan beras, telur, minyak masak dan beberapa barangan lain dengan peruntukan keseluruhan kira-kira RM8,000.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1606
Kongsi :
Previous post Penjinak rusa Taboh Naning
Next post Dondang sayang Melaka pikat orang Itali
Ubah saiz-+=