Biarpun tunggal, namun tetap waja

TANJUNG BIDARA 27 Ogos – Biar pun hanya satu Jalur Gemilang dan satu bendera Melaka yang mampu dipasang, ia tetap membuktikan semangat patriotik dua nelayan yang seutuh besi waja, terutama menjelang sambutan Hari Kebangsaan.

Setiap kali tarikh 31 Ogos semakin hampir, tekong perahu, Mohd Ali Abu Bakar, 50, dan awak-awak, Mohd Amin Fuad Ramli, 24, tidak pernah alpa untuk mengikat Jalur Gemilang dan bendera negeri pada buluh yang dijadikan sebagai penanda rawai yang dipasang di dasar laut.

Mohd Ali berkata, meskipun hanya sebatang bendera kebangsaan yang dipasang sebagai penanda rawai, beliau tetap berbangga melaksanakan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia.

“Beratus-ratus mata kail yang dipasang umpan dan dibuang (dipasang) di dasar laut perlu diikat hujungnya pada tiang bendera bagi membolehkan saya mengesan bahagian hujung rawai.

“Sempena Hari Kebangsaan, saya menggantikan kain bendera rawai yang sebelum ini hanyalah kain hitam dengan Jalur Gemilang dan bendera negeri kerana sebagai rakyat Malaysia, saya berbangga menjadi warganegara.

“Di sinilah saya dilahirkan dan menghirup udara segar Laut Selat Melaka setiap hari dan saya ucapkan terima kasih kepada pejuang kemerdekaan negara Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj,” katanya ketika ditemui di pangkalan nelayan Kampung Pengkalan Balak, semalam.

Beliau berkata, tiang bendera Jalur Gemilang dan bendera negeri yang terapung di permukaan laut lebih jelas dikesan berbanding kain bendera biasa kerana ada jalinan belang dan warna terang padanya berbanding jika hanya satu warna.

Mohd Amin berkata, beliau ceria melihat Jalur Gemilang dan bendera negeri berkibar megah setiap kali perahunya meluncur laju membelah ombak.

“Setiap kali bendera itu terapung di tengah laut, setiap kali itu jugalah saya terkenang saya dan pelajar sekolah menyanyikan lagu kebangsaan pada perhimpunan setiap Isnin,” katanya.

Beliau menegaskan, semangat sayang akan Jalur Gemilang harus dipasak dalam jiwa pelajar dan murid bagi memastikan mereka menjadi warganegara yang tidak gentar mempertahankan kedaulatan negara jika diancam musuh.

Views:

8

Share and Enjoy !

Shares
Previous post JPS Melaka jawab isu struktur tembok penahan ombak longgar
Next post “Jangan termakan ‘psiko’ Perak” – Zainal