Sorting by

×

JPS Melaka jawab isu struktur tembok penahan ombak longgar

Masa Membaca:1 Minit, 54 Saat

KUALA LINGGI 27 Ogos – Jangan ubah bongkah batu pada tembok penahan ombak sesuka hati kerana ia menyebabkan struktur tembok menjadi longgar dan tidak mampu menahan hakisan pantai.

Itu arahan dikeluarkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri kepada anggota komuniti pinggir pantai di Kampung Pantai, Kuala Sungai Baru, di sini yang dipercayai mengubah kedudukan batu tembok penahan ombak berhampiran kediaman mereka.

Ini kerana tindakan berkenaan menyebabkan struktur susunan bongkah batu yang membentuk tembok itu menjadi longgar, sekali gus mengakibatkan hakisan pantai berulang.

Pengarahnya Abdul Hakim Hamzah berkata, siasatan jurutera JPS di lokasi lubang yang terbentuk di tembok berkenaan mendapati ada penduduk kampung mengubah kedudukan batu pada tembok itu semata-mata untuk menurunkan perahu gentian kaca dari pantai ke laut.

“Keadaan itu menyebabkan susunan bongkah batu atau ‘rock revetment’ yang membentuk tembok penahan ombak menjadi longgar dan mengakibatkan hakisan serta lubang,” katanya semalam.

Sehubungan itu, beliau meminta anggota komuniti berkenaan supaya memberikan kerjasama memelihara tembok berkenaan daripada mengalami hakisan pantai akibat tindakan mengubah batu.

Berikutan kejadian itu, JPS terpaksa meminta kontraktor menjalankan kerja pembaikan menutup semula lubang berkenaan dengan batu bersaiz lebih kecil bagi memastikan lubang tidak terus membesar dan merosakkan tembok terbabit, katanya.

Ahad lalu, sebanyak tujuh lubang yang muat tubuh budak dilaporkan dikesan di tebing pemecah ombak kampung berkenaan dan ia membimbangkan 15 orang dari tiga keluarga yang menghuni kediaman berhampiran tembok berkenaan.

Ia dibimbangi mengancam keselamatan kanak-kanak yang sering bermain di pantai itu, selain berpotensi untuk membesar dan mengancam keselamatan penghuni rumah berkenaan.

Norizam Suboh, 55, berkata beliau dan penghuni lain terkejut apabila mendapati ada tujuh lubang terbentuk di kawasan berkenaan pagi Ahad lalu.

“Dua hari sebelum lubang itu terbentuk, ombak besar melanda pantai di kampung ini yang dipercayai menyebabkan pasir pantai di bahagian bawah timbunan batu tembok penahan ombak ditarik ke laut.

“Hakisan di bahagian bawah bongkah batu itu meresap hingga ke atas dan menyebabkan pasir pantai berlubang sebesar badan budak dan ia amat membimbangkan kami, terutama keselamatan anak kami yang selalu bermain di kawasan itu,” katanya.

Selain Norizam dan empat anggota keluarganya, ada 11 orang dari dua keluarga jirannya turut menghuni kediaman berhampiran tembok penahan ombak itu yang siap dibina JPS negeri pada Disember tahun lalu.

Beliau menjelaskan, tembok berkenaan dibina bagi mengatasi masalah hakisan pantai yang mengancam keselamatan penduduk kampung itu sejak September tahun lalu.

Views:

774
Kongsi :
Previous post Yaakub diangkat Tokoh Maal Hijrah Negeri Melaka
Next post Biarpun tunggal, namun tetap waja
Ubah saiz-+=