Yaakub diangkat Tokoh Maal Hijrah Negeri Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

AYER KEROH 27 Ogos – Mantan Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Datuk Wira Yaakub Md Amin diangkat sebagai penerima Tokoh Utama Maal Hijrah Negeri Melaka bagi tahun 2020/1422 Hijrah.

Beliau menerima Anugerah Abu Bakar As-Siddiq dalam majlis yang berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), sebentar tadi.

Selaku penerima anugerah, beliau menerima RM10,000, sijil dan plak penghargaan.

Yaakub,70, bukanlah nama asing di Melaka. Beliau pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tangga Batu dan Sungai Udang selama tiga penggal daripada tahun 1999 hingga 2014.

Selain itu, beliau bergiat aktif dalam pelbagai persatuan dan yayasan di Melaka, antaranya menjadi Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Malaysia (PEYATIM) Negeri Melaka, Pengerusi Rumah Anak Yatim Sultan Salehuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj dan Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Anak Melaka.

Pengiktirafan terbesar pernah diterimanya ialah dipilih menerima Anugerah Khas Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan pada 2018.

Selain Yaakub, beberapa nama besar lain turut dipilih menerima Anugerah Khas Maal Hijrah 1442 Hijrah.

Anugerah Usahawan Islam diberikan kepada Pengasas dan Pengerusi Eksekutif KAT Technologies Sdn. Bhd. Datuk Ir (Dr.) Khairul Anuar Mohammad Tawi, manakala Dr. Mohammad Fadhly Yahya dianugerahkan Anugerah Cendekiawan Perubatan (Anugerah Ibnu Sina).

Sementara itu, Dr. Maimunah Fadzil, Ramlah Md. Yassin dan Rozita Abdul Hamid pula masing-masing menerima Anugerah Perkhidmatan Awam, Anugerah Keluarga Mithali serta Anugerah Aktivis Muslim dalam majlis itu.

Anugerah Belia Islam pula disandang pemenang tempat ketiga Da’i Pendakwah Nusantara musim kelima Muhammad Fahmi Zulkifly.

Manakala, bagi kategori Pengurusan Masjid dan Surau Kariah Terbaik pula menjadi milik Masjid An-Nur Taman Maju Jasin dan Surau Al-Muttaqin Taman Paya Rumput Perdana.

Kesemua pemenang menerima anugerah yang disampaikan Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Ali Mohd Rustam.

Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali.

Views:

711
Kongsi :
Previous post Pandemik COVID-19 serlah kebaikan rakyat Malaysia
Next post JPS Melaka jawab isu struktur tembok penahan ombak longgar
Ubah saiz-+=