Bina menara tinjau di puncak Gunung Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

ASAHAN 16 Februari – Selepas diisytihar sebagai gunung secara rasmi pada Oktober 2020, Gunung Melaka semakin popular dan menarik minat ramai kaki ‘hiking’ seluruh negara.

Justeru, pelbagai pembaharuan dirancang bagi memastikan Gunung Melaka atau yang turut dikenali sebagai Bukit Gapis sebelum ini terus menjadi tumpuan pengunjung dan pelancong sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Sepanjang tempoh perang dunia kedua, Gunung Melaka kerap dijadikan lokasi persembunyian oleh penduduk kampung sekitar yang melarikan diri daripada tentera Jepun.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, perancangan berkenaan akan dilaksanakan menerusi kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) serta Jabatan Perhutanan.

“Antara cadangan disuarakan adalah membina sebuah menara tinjau di puncak Gunung Melaka, jika sudah siap nanti pendaki boleh menikmati pemadangan alam semula jadi yang indah.

“Bagi aspek keselamatan pula setiap ‘check point’ sudah dipasang papan tanda, selain itu turut dibina adalah pintu gerbang di kaki gunung yang menjadi laluan kaki ‘hiking’ untuk ke puncak,” katanya.

Beliau yang juga Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri berkata, Jeram Tok Janggut menjadi pelengkap kepada landskap semula jadi Gunung Melaka juga diberi perhatian untuk dibangunkan.

“Cadangan itu masih dalam tindakan, Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) sedang menunggu peruntukan bagi pengambilan tanah untuk kerja pembangunan jeram tersebut.

“Kedatangan pengunjung atau pendaki ke Gunung Melaka kebelakangan ini amat memberansangkan, jadi aspek fasilitiperlu diambil kira bagi memberikan keselesaan kepada mereka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

474
Kongsi :
Previous post Kestabilan kerajaan faktor Melaka capai status sifar miskin tegar – KM
Next post Abang TNB terima penghargaan bomba
Ubah saiz-+=