Kestabilan kerajaan faktor Melaka capai status sifar miskin tegar – KM

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

AYER KEROH 16 Februari – Kestabilan Kerajaan Negeri antara faktor yang membantu Melaka mencapai status Sifar Miskin Tegar, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Ketua Menteri berkata, kestabilan kerajaan menarik minat ramai pelabur untuk bertapak di negeri ini dan manfaatnya kini dinikmati 300,000 orang Melaka yang berkhidmat dalam pelbagai sektor perindustrian.

Katanya, Melaka secara rasmi diisytiharkan mencapai status Sifar Miskin Tegar pada 28 Disember 2023, sekali gus menzahirkan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu menoktahkan miskin tegar di negara ini.

“Disebabkan Melaka mempunyai kerajaan yang stabil, kita telah berikan peluang pekerjaan kepada lebih 300,000 penduduk di negeri ini dalam sektor perindustrian.

“Melaka ada satu juta penduduk, 30 peratus daripada jumlah berkenaan bekerja dalam sektor perindustrian. Perkembangan ini membantu pekerja terbabit dan keluarga mereka keluar daripada garis miskin tegar. Itu salah satu faktor menyumbang kepada Negeri Melaka yang sekarang ini diisytihar negeri sifar miskin tegar,” kata Ketua Menteri.

Menurutnya, berdasarkan bilangan keseluruhan penduduk Melaka, jumlah miskin tegar yang direkodkan sebelum ini adalah kurang daripada 0.05 peratus.

“Jika dalam rumah mereka ada anak-anak berpendapatan lebih RM1,500 dua atau tiga orang, maka keluarga ini tidak diletakkan dalam miskin tegar, secara automatik tidak lagi berada dalam golongan tersebut,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

435
Kongsi :
Previous post Kesan waris bayi ditinggalkan dalam bakul
Next post Bina menara tinjau di puncak Gunung Melaka
Ubah saiz-+=