BISTARI SANTUNI, SUNTIK SEMANGAT BUAT PESAKIT DI HOSPITAL MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

PENGKALAN BATU 27 Julai – Program Ziarah Prihatin Badan Amal Kebajikan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Negeri Melaka (BISTARI) Negeri Melaka bukan sekadar menyampaikan sumbangan, tetapi menjadi platform memperkukuh sokongan emosi terhadap pesakit dan ahli keluarga mereka yang sedang berdepan ujian kesihatan.

Ziarah tersebut diketuai Pengerusi BISTARI Negeri Melaka Datin Seri Utama Datuk Wira Zuriyah Abd Aziz yang juga isteri Ketua Menteri Melaka dengan diiringi Pengarah Hospital Melaka Dr. Shahrum Muzakir @ Lokman Arshad, barisan pengurusan serta petugas hospital.

Program dimulakan dengan menziarahi bekas pesakit ameloblastoma yang berjaya menjalani rawatan dan pulih sepenuhnya di Klinik Pakar Pergigian, Jabatan Bedah Mulut dan Maksilofasial kemudian diteruskan dengan lawatan ke Wad 1 dan 2 bagi menyantuni pesakit pembedahan pediatrik.

Menurut, Zuriyah BISTARI turut meluangkan masa menyantuni pesakit serta ahli keluarga bagi memberi kata-kata semangat selain menyampaikan sumbangan sebagai tanda keprihatinan BISTARI Negeri Melaka terhadap kebajikan mereka.

“Program seumpama itu akan terus diperkasakan sebagai sebahagian daripada usaha BISTARI mendekati rakyat khususnya golongan yang memerlukan perhatian dan sokongan moral ketika sepanjang tempoh menjalani rawatan di hospital.

“Kehadiran BISTARI bukan hanya untuk menyampaikan bantuan malah membawa mesej bahawa pesakit tidak pernah bersendirian kerana sentiasa ada pihak yang mengambil berat terhadap kebajikan dan kesejahteraan mereka,” katanya.

Beliau berharap program dilaksanakan memberikan impak kepada golongan yang disasarkan khusus dalam menyuntik semangat dan memberi sedikit keceriaan kepada pesakit serta ahli keluarga masing-masing.

“Semoga semua pesakit dikurniakan kesembuhan, dipermudahkan segala urusan rawatan dan sentiasa berada dalam lindungan serta rahmat Allah SWT,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

216
Kongsi :
Previous post ‘TIADA BANTUAN TERLALU KECIL, TIADA MASALAH RAKYAT DIANGGAP REMEH’
Next post TOK RAUF UMUM RM500,000 BINA JALAN BAHARU ‘KAMPUNG KEMBOJA’