BKC: Sejumlah RM12.3 bilion disalurkan kepada hampir RM10 juta penerima – Tengku Zafrul

0
509
JADUAL 1 bagi pembayaran BKC.

KUALA LUMPUR 10 Sept – Sejumlah RM12.3 billion pembayaran Bantuan Khas COVID-19 (BKC) merangkumi Bantuan Prihatin Nasional 2.0 (BPN 2.0), Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dan BPR Tambahan telah disalurkan kepada hampir 10 juta penerima.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, baki pembayaran BPR (Fasa 3 dan rayuan), BKC (Fasa 2 dan Fasa 3) dan Bantuan Kehilangan Pendapatan (BKP) berjumlah RM4.8 bilion dijangka disalurkan dari September hingga Disember 2021.

“Kementerian Kewangan ingin menekankan bahawa BKC merupakan sebahagian daripada pelbagai bantuan lain yang akan disalurkan secara berterusan sehingga penghujung tahun 2021,” katanya dalam Laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) ke-67 yang dikeluarkan, hari ini.

MENTERI Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz. Foto Internet

Tengku Zafrul berkata, secara keseluruhannya peruntukan RM17.1 bilion disediakan oleh kerajaan tahun ini bagi pelaksanaan BPN 2.0, BPR, BPR Tambahan, BKC dan Bantuan Kehilangan Pendapatan (BKP) yang telah dan akan disalurkan kepada penerima yang layak.

Di bawah Program Insentif Pengambilan Pekerja (PenjanaKerjaya), kerajaan telah menyalurkan keseluruhan RM995.36 juta kepada 33,304 majikan melalui bagi mengekalkan 256,253 pekerja tempatan.

Setakat 3 September lalu RM635.74 juta berjaya disalurkan melalui PenjanaKerjaya 1.0 dan memanfaatkan sebanyak 15,097 majikan dan 116,316 pekerja, manakala RM354.52 juta disalurkan melalui PenjanaKerjaya 2.0 sebagai insentif pengambilan pekerjaan yang telah membantu 16,491 majikan dan 135,322 pekerja.

Menurutnya, sebanyak RM5.10 juta turut disalurkan melalui PenjanaKerjaya 3.0 dan memanfaatkan 1,717 majikan dan 4,631 pekerja.

Beliau berkata setakat 20 Ogos lalu, RM18.83 juta telah berjaya disalurkan kepada 761 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS) di bawah Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India manakala jaminan sebanyak RM1.705 bilion diluluskan bagi 51 syarikat bagi Skim Jaminan Prihatin DanaJamin setakat 27 Ogos.

Di bawah Dana Pinjaman Mudah PKS, permohonan berjumlah RM12.38 billion telah diluluskan oleh bank-bank tempatan yang akan memberi manfaat kepada 26,089 PKS.

Jumlah itu termasuk dana bagi Kemudahan Bantuan Khas (SRF), Kemudahan Automasi dan Digital (ADF), Kemudahan Semua Sektor Ekonomi (AES) dan Kemudahan Agromakanan (AF).

Tengku Zafrul berkata setakat 27 Ogos, 2021, seramai 137,659 pekerja telah berjaya mendapat pekerjaan melalui Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Bantuan Latihan yang mana antara industri dan sektor utama yang mengambil pekerja termasuk pembuatan serta perdagangan borong dan runcit.

Sementara itu, seramai 150,908 peserta telah diluluskan (berbanding 150,764 pada minggu sebelumnya) untuk mengambil bahagian dalam program yang disediakan di bawah Program Kemahiran dan Peningkatan Kemahiran.

Bagi Progam Subsidi Upah (PSU), seramai 322,177 majikan dan 2.64 juta pekerja telah menerima manfaat PSU 1.0 di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) serta Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

Setakat 27 Ogos, permohonan subsidi upah yang diluluskan telahpun mencapai nilai RM12.929 bilion.

Manakala, sejumlah RM1.356 bilion telah disalurkan kepada 77,507 majikan untuk terus beroperasi dan mengekalkan penggajian bagi 692,805 pekerja di bawah PSU 2.0.

Tengku Zafrul berkata Skim Pemulihan Perniagaan TEKUN khas untuk PKS Mikro dengan dana RM100 juta telah mencapai objektifnya dengan memanfaatkan 14,946 PKS Mikro.

Dana Pembiayaan Bantuan Bumiputera (BRF) berjumlah RM200 juta oleh Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) juga telah mencapai objektifnya dengan memanfaatkan 749 PKS.

Di bawah PENJANA, kerajaan juga telah memperuntukkan sebanyak RM700 juta bagi membantu dan menggalak PKS dan Syarikat di Peringkat Pertengahan (MTC) ke arah pendigitalan operasi dan saluran perdagangan.

Setakat 27 Ogos, sejumlah RM82.27 juta telah disalurkan kepada 13,884 perniagaan dalam bentuk geran dan pinjaman untuk langganan perkhidmatan digitalisasi, katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.