BKSA dan TNB potong bekalan elektrik, pasang pagar atasi pencerobohan di Empangan Durian Tunggal

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

DURIAN TUNGGAL 28 Jan. – Badan Kawal Selia Air (BKSA) menerusi kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) bertindak memotong bekalan elektrik lebih 10 premis haram yang beroperasi di Empangan Durian Tunggal, di sini, dalam operasi bersepadu semalam.

Operasi bersama beberapa agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) negeri serta Pejabat Daerah dan Tanah bermula pada jam 9 pagi hingga 4 petang dengan kekuatan 32 anggota dan kakitangan.

Pengarah BKSA, Faizah Abdul Rahman @ Sulaiman berkata, meskipun notis pengosongan tapak sudah dikeluarkan oleh Pejabat Daerah dan Tanah, Alor Gajah, masih terdapat aktiviti haram dijalankan di atas tapak rizab berkenaan.

“Fokus utama operasi pada kali ini adalah mengesan premis-premis haram seperti stor, pembinaan jeti serta rumah pekerja di atas tanah rizab yang mempunyai bekalan elektrik serta air bersih dan seterusnya melaksanakan tindakan pemotongan utiliti tersebut oleh pihak TNB.

“Dalam operasi ini JIM Melaka turut melaksanakan penguatkuasaan dan pemeriksaan permit bagi pekerja di tapak pencerobohan tersebut serta menahan seorang pekerja asing yang tidak mempunyai permit kerja yang sah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

ANGGOTA penguat kuasa dari pegawai agensi terbabit memeriksa premis yang dibina penceroboh di kawasan Empangan Durian Tunggal.

Mengulas lanjut, Faizah berkata, pencerobohan tanah rizab itu bukan perkara baru, malah pelbagai langkah telah diambil bagi mengarahkan penceroboh mengosongkan kawasan tadahan air itu sejak 2012.

Beliau berkata, lebih dikesalkan terdapat pencerobohan tanah yang baharu dengan penanaman pokok durian, buah naga dan sayur-sayuran oleh pihak tidak bertanggungjawab.

TANAH rizab di Empangan Durian Tunggal yang diceroboh dan ditanam pokok buah-buahan termasuk buah naga.

“Berikutan itu, kerajaan negeri sedang melaksanakan projek mematikan pokok kelapa sawit melalui kaedah suntikan dan memasang pagar di kawasan berkenaan.

“Matlamat utama projek itu adalah memastikan tiada lagi aktiviti pertanian dijalankan di kawasan tadahan bagi menjamin kualiti dan kuantiti air.” katanya.

Views:

1175
Kongsi :
Previous post Pakar motivasi, Azizan Osman cerita pengalaman hampir maut akibat COVID-19
Next post Kilang, premis perniagaan tidak patuh SOP COVID akan ditutup sementara
Ubah saiz-+=