BN tepis fitnah lantik KM sementara

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

MELAKA 16 Nov – Barisan Nasional (BN) menepis fitnah yang cuba dimainkan pihak tertentu kononnya Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali hanya akan dilantik sebagai calon Ketua Menteri sementara.

Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan, perkara itu sama sekali tidak berasas memandangkan calon Ketua Menteri telah ditetapkan iaitu Sulaiman untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka penggal ke-15, 20 Nov ini.

Jelasnya, jika BN diberi mandat oleh rakyat di Melaka, Sulaiman akan mentadbir dan mengurus negeri Melaka sehingga habis penggal ke-15.

“Ini bukan isu main-main! Ini bukan cerita ketua kampung setengah penggal sebab kita (BN) nak menstabilkan negeri.

“Bila dah ada kestabilan, seorang pentadbir, ketua menteri yang didukung oleh parti dan disokong oleh rakyat, maka dia perlu menumpukan sepenuh tumpuan untuk mengurus dan mentadbir negeri.

“Tidak timbul soal ketua menteri ini sementara atau tidak kerana ia hanya mainan politik yang cuba meracun minda pengundi di Melaka oleh orang-orang berkepentingan,” katanya dalam satu rakaman video.

Justeru, Mohamad yang juga Pengarah Pilihan Raya BN untuk PRN Melaka meminta rakyat Melaka agar tidak termakan dengan fitnah dan khabar angin yang cuba untuk melemahkan parti itu sepanjang musim berkempen yang sedang berlangsung kini.

“Kepada pengundi-pengundi rakyat Melaka, BN telah memutuskan bahawa calon kita Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali yang akan kita lantik untuk mengurus negeri Melaka untuk jangka masa satu penggal, lima tahun.

“Jadi, jangan dengar khabar angin memandangkan sepanjang tempoh berkempen, macam-macam fitnah yang keluar.

“Itulah penerangan saya supaya rakyat tak termakan fitnah orang yang hendak memutar belitkan fakta dan melemahkan BN,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

718
Kongsi :
Previous post PRN Melaka: 2,322 anggota dan pegawai polis undi awal hari ini
Next post PRN Melaka: 11 peratus keluar mengundi awal setakat 9 pagi
Ubah saiz-+=