WhatsApp Image 2021-11-16 at 9.31.47 AM

PRN Melaka: 2,322 anggota dan pegawai polis undi awal hari ini

AYER KEROH 16 Nov-  Sejumlah 24 pusat pengundian awal di seluruh Melaka dibuka pada 8 pagi ini bagi membolehkan pegawai dan anggota polis membuang undi awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Secara keseluruhan seramai 2,322 anggota dan pegawai polis yang akan mengundi di seluruh negeri Melaka.

Mereka terdiri daripada 739 anggota dan pegawai polis yang membuang undi awal di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka Bukit Beruang, manakala seramai 555 anggota akan mengundi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah dan seramai 238 di IPD Jasin.

Tinjauan Melaka Hari Ini (MHI) di IPK Melaka mendapati, cuaca baik dan pegawai serta anggota polis telah tiba seawal jam 7.40 pagi untuk membuang undi.

Di lokasi terdapat dua saluran mengundi disediakan dan turut disediakan khemah mengundi khas.

Waktu yang ditetapkan untuk mengundi di sini adalah 8 pagi hingga 5.30 petang.

Proses pengundian awal akan menyaksikan prosedur operasi standard (SOP) bagi mematuhi garis panduan pencegahan COVID-19 di bawah pelan pemulihan negara kerana situasi pandemik yang masih belum terkawal sepenuhnya.

Penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka, penggunaan pensanitasi tangan, saringan suhu badan dan merekodkan kehadiran akan dilaksanakan di pusat-pusat pengundian tersebut selain perlu mengimbas kod respons pantas (QR) MySejahtera sebelum masuk ke PPA.

Turut hadir meninjau ke pusat pengundian awal adalah Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Zaini Jaas, Ketua Polis Melaka, Datuk Wira Abdul Majid Mohd Ali, dan Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Razali Abu Samah.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

148
2DB4FC57-321B-4BCA-8D14-F4C75AA2B2AA Previous post Sulaiman ucap selamat mengundi, seru beri peluang tubuh kerajaan stabil
photo1636536370 Next post BN tepis fitnah lantik KM sementara