BNM tingkat kemudahan pembiayaan automasi dan digitalisasi bantu PKS

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

KUALA LUMPUR 17 Mac. – Bank Negara Malaysia (BNM) meningkatkan Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar serta Fasiliti Automasi dan Digitalisasi masing-masing RM2 bilion dan RM700 juta bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mendapatkan pinjaman.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata dengan penambahan itu, jumlah kemudahan yang disediakan oleh BNM untuk manfaat PKS adalah RM6 billion.

“Bantuan moratorium bersasar yang diumumkan kerajaan melalui BNM telah berjaya mengurangkan beban 1.4 juta peminjam individu dan PKS terjejas dengan kelulusan sehingga 95 peratus.

“Saya ingin menekankan bahawa bantuan ini masih dibuka kepada orang ramai,” katanya semasa mengumumkan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) hari ini.

Muhyiddin berkata, di bawah Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF) RM200 juta disediakan untuk skim pembiayaan pembangunan automasi, digitalisasi dan penggunaan teknologi hijau.

“MIDF juga bersetuju untuk mengurangkan kadar faedah pinjaman daripada lima kepada tiga peratus bagi tempoh 12 bulan, bermula 1 April 2021,” katanya.

Perdana Menteri berkata, dana tambahan RM50 juta bagi Geran Automasi Pintar di bawah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) turut disediakan agar lebih banyak PKS dan syarikat tahap pertengahan dapat meningkatkan kecekapan operasi dan pembuatan menerusi teknologi tinggi.

Bagi menyokong Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0), beliau berkata, peruntukan RM50 juta akan diberi kepada program Industry4WRD di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

SME Bank pula akan menyediakan dana pinjaman sebanyak RM200 juta untuk membiayai pembelian mesin dengan insentif geran sehingga 20 peratus ke atas nilai mesin sebagai usaha menggalakkan PKS meningkatkan automasi yang dapat mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing, katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

397
Kongsi :
Previous post Golongan B40 hilang pendapatan, penerima BPR gaji bawah RM1,000 terima bantuan RM500
Next post PEMERKASA: PKP mungkin tidak lagi dilaksanakan secara menyeluruh
Ubah saiz-+=