Boleh terus ke klinik kesihatan jika positif COVID-19 di Melaka Tengah

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

AYER KEROH 30 Julai – Individu di Melaka Tengah kini tidak perlu menunggu panggilan untuk rawatan jika disahkan positif COVID-19 menerusi ujian Rapid Test Kit Antigen (RTK-Ag) atau Reverse transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) di klinik swasta dan seumpamanya.

Sebaliknya, mereka boleh terus ke klinik kesihatan (KK) berhampiran kawasan mereka atau Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) secara pandu lalu di Klinik Kesihatan Batu Berendam.

Exco Kesihatan Negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, itu antara langkah diambil bagi memantapkan pengurusan kes COVID-19 serta memastikan keberkesanan aktiviti kesihatan awam di lapangan.

RAHMAD.

Menurutnya, bagi kes positif COVID-19 yang dikesan menerusi ujian RTK-Ag, mereka boleh terus ke KK berhampiran sama ada bergejala atau tidak bergejala.

Manakala bagi kes positif RT-PCR pula hendaklah dirujuk ke CAC Klinik Kesihatan Batu Berendam.

“Pesakit berkenaan diminta menghubungi klinik kesihatan terdekat atau CAC (di setiap daerah) sebelum hadir bagi tujuan pemakluman dan persediaan.

“Bagi situasi kecemasan, pesakit diminta terus menghubungi talian 999,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, setiap kes positif COVID-19 juga wajib dilaporkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Melaka Tengah.

Kegagalan berbuat demikian boleh dikenakan kompaun mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2800
Kongsi :
Previous post KDN lancar aplikasi ‘Chatbot’ bantu mangsa pemerdagangan orang
Next post Sokongan antarabangsa dalam usaha perangi COVID-19 bukti kekuatan Malaysia – Hishammuddin
Ubah saiz-+=