KDN lancar aplikasi ‘Chatbot’ bantu mangsa pemerdagangan orang

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

PUTRAJAYA 30 Julai – Bagi mempergiat usaha memerangi aktiviti pemerdagangan manusia, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil inisiatif melancarkan aplikasi sembang interaktif ‘chatbot’ pelbagai bahasa.

Ia sebagai medium interaksi antara mangsa kegiatan jenayah itu dengan Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO).

Chatbot singkatan daripada ‘Chatterbot’ merupakan ciri Kecerdasan Buatan (AI) yang berfungsi merangsang perbualan manusia menerusi suara atau teks atau kedua-duanya.

Chatbot berkenaan yang turut dikenali sebagai ‘chatbot MAPO’, dilancarkan oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin sempena sambutan Hari Antipemerdagangan Manusia Sedunia, hari ini.

Hamzah berkata, platform yang boleh diakses menerusi laman Facebook MAPO itu dibangunkan kerajaan dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Project Liber8.

“Chatbot MAPO mudah diakses, mesra pengguna, praktikal dan boleh dihubungi sepanjang masa untuk maklum balas yang pantas kepada pengguna,” katanya sambil menambah aplikasi itu terdapat dalam enam bahasa iaitu bahasa Melayu, Inggeris, Indonesia, Burma, Nepal dan Benggali.

HAMZAH (dua dari kiri) ketika pelancaran aplikasi ‘Chatbot’ pelbagai bahasa, bantu mangsa pemerdagangan orang.

Hamzah, yang turut berharap lebih ramai mangsa akan tampil dengan pelancaran Chatbot itu, menegaskan dalam bahawa, “anda bukan hanya akan diselamatkan tetapi juga dilindungi,” katanya.

Beliau berkata mangsa pemerdagangan manusia memainkan peranan penting dalam usaha membanteras kegiatan itu, justeru sokongan dan maklum balas terhadap mangsa perlu dipergiat.

Katanya kegiatan pemerdagangan manusia adalah umpama amalan perhambaan moden yang menafikan kebebasan, maruah serta hak asasi berjuta-juta orang mangsa di seluruh dunia.

Beliau berkata berdasarkan statistik sejak 2015, sebanyak 1,854 kes yang melibatkan 10,463 mangsa telah direkodkan di Malaysia, iaitu 70 peratus mangsa adalah wanita dan kanak-kanak.

“Semua mangsa telah diselamatkan dan diberikan perlindungan mengikut lunas perundangan sedia ada,” katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua mangsa yang telah memberikan maklumat serta kerjasama dalam usaha kerajaan membanteras aktiviti tersebut.

Hamzah berkata KDN juga sedang mempertimbangkan untuk mengenakan hukuman lebih berat kepada pesalah jenayah pemerdagangan manusia termasuk cadangan penjara seumur hidup.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

410
Kongsi :
Previous post 2 lagi kluster baharu, 17 kematian di Melaka
Next post Boleh terus ke klinik kesihatan jika positif COVID-19 di Melaka Tengah
Ubah saiz-+=