Bot karam di Pontian: 6 selamat, 7 pendatang asing dipercayai hilang

Masa Membaca:57 Saat

JOHOR BAHRU, 18 Jan – Enam pendatang asing tanpa izin warga Indonesia ditemukan selamat, manakala tujuh lagi dipercayai masih hilang selepas bot yang dinaiki mereka karam dipukul ombak kuat di perairan Pontian, awal pagi tadi.

Pengarah Maritim Negeri Johor Laksamana Nurul Hizam Zakaria berkata Pusat Sub Penyelamat Maritim (MRSC) Johor Bahru menerima laporan enam individu iaitu empat wanita dan dua lelaki telah diselamatkan oleh sebuah bot nelayan tempatan di kedudukan 0.3 barat daya Pontian Besar, pada 10 pagi tadi.

Beliau berkata mengikut maklumat awal daripada mangsa yang terselamat, bot yang dinaiki membawa 13 orang termasuk tekong.

“Sehubungan itu, Operasi Mencari dan Menyelamat (Carilamat) diaktifkan pada 10.20 pagi tadi yang pangkalan hadapan Operasi Carilamat itu dari Jeti Persatuan Nelayan Pontian,” katanya menerusi kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya juga telah menggerakkan sebuah pesawat AW139 dan bot KILAT 12 bagi melakukan pemantauan untuk mencari baki mangsa yang hilang.

Nurul Hizam berkata pihaknya turut mendapatkan bantuan aset daripada agensi lain bagi membantu Operasi Carilamat itu.

Beliau berkata kesemua enam mangsa yang terselamat telah dibawa ke Hospital Pontian untuk rawatan lanjut.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1028
Kongsi :
Previous post Bekas Exco negeri Pulau Pinang keluar DAP
Next post PDRM sahkan OKT mati mengejut akibat paru-paru berair
Ubah saiz-+=