Bot karam di Semporna: Dua mangsa terakhir ditemukan terapung

Masa Membaca:53 Saat

SEMPORNA, 16 April – Dua mangsa terakhir yang hilang dalam kejadian bot karam pada Khamis lepas (14 April), ditemukan terapung berhampiran lokasi kejadian di perairan Kampung Tandoan, Pulau Timbun Mata pagi ini.

Ini menjadikan keseluruhan tujuh daripada 21 penumpang bot itu maut dalam kejadian tersebut.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Semporna Komander Maritim Semporna Norrimi Hassan berkata mangsa Noranis Harimalam, 14, serta Aiman, 7, ditemukan penduduk kampung pada 7.50 pagi.

“Kedua-dua mangsa ditemukan serentak oleh penduduk kampung,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Norrimi berkata kedua-dua mayat dihantar ke Hospital Semporna untuk tindakan lanjut.

Semalam Ketua Polis Daerah Semporna Supt Mohd Farhan Lee Abdullah dilaporkan berkata lima individu maut, manakala dua hilang dan 14 individu lagi selamat selepas bot dinaiki mereka karam di perairan Kampung Tandoan, Pulau Timbun Mata dekat sini.

Mohd Farhan berkata juragan bot itu berusia 64 tahun ditahan semalam bagi membantu siasatan kejadian itu, di bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan iaitu kerana menyebabkan kematian dengan cuai.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1261
Kongsi :
Previous post Janin bertali pusat ditemukan di tempat penapisan loji kumbahan
Next post COVID: 9,673 kes baharu semalam
Ubah saiz-+=