Bubar DUN: MB Pahang belum terima tarikh menghadap

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

KUANTAN, 11 Okt – Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata beliau masih belum menerima tarikh untuk menghadap Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung status Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang.

“Belum dapat tarikh…saya tidak mahu mendahului Tuanku,” katanya ringkas semasa ditanya jika DUN Pahang akan dibubarkan bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan serentak dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ekoran pembubaran Parlimen semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Penyerahan Traktor kepada Jabatan Pertanian Pahang di Wisma Sri Pahang di sini, yang berlangsung sebelum persidangan DUN Pahang bermula hari ini.

Semalam, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata DUN di bawah pentadbiran BN kecuali Melaka, Johor dan Sabah akan dibubarkan serentak dengan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU15.

Pahang ditadbir BN selepas keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 menyaksikan BN menang 25 daripada 42 DUN, manakala Pakatan Harapan (sembilan) dan PAS (lapan).

Mengulas mengenai program hari ini, Wan Rosdy berkata kerajaan negeri memperuntukkan RM3.4 juta bagi membeli 22 traktor untuk membantu petani yang berhadapan dengan kesukaran menyewa traktor bagi menguruskan tanah pertanian mereka.

“Ini merupakan kali pertama kerajaan negeri menawarkan bantuan seumpamanya. Traktor ini akan diletakkan di bawah kendalian Jabatan Pertanian dan mereka yang berhasrat menggunakannya, boleh menyewa pada kadar yang sangat murah,” katanya.

Wan Rosdy berkata 10 daerah di negeri ini, kecuali Cameron Highlands, masing-masing akan menerima dua buah traktor manakala dua lagi diletakkan di pejabat Jabatan Pertanian negeri.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1506
Kongsi :
Previous post Permohonan jadi pemerhati PRU-15 dibuka hari ini – SPR
Next post Skuad B-16 intai peluang jalani kem latihan di Timur Tengah, Jepun
Ubah saiz-+=