‘Bukan mudah jinakkan Selangor’

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

AYER KEROH 2 Nov. – Aksi menentang Selangor pada pusingan pertama Piala Malaysia 2020 diakui bukanlah laluan mudah buat Melaka United (MU).

Pengurus Pasukan Muhammad Akram Abdullah tanpa berselindung mengakui gusar dengan pertemuan peringkat awal itu, apatah lagi bakal ditentang lawan yang terkenal dengan status legenda dan pernah 33 kali menjulang piala keramat itu.

Dengan pengenalan format baharu, beliau berkata, ia akan menyulitkan lagi tugas pasukan, namun pada masa sama tetap menaruh kepercayaan tinggi terhadap kemampuan skuad Hang Tuah memberikan kejutan dalam aksi berkenaan.

“Risau memang risau, aksi menentang Selangor memandangkan Piala Malaysia kali ini menggunakan format kalah mati dan bukannya peringkat kumpulan seperti sebelum ini.

PENGURUS Pasukan Melaka United Muhammad Akram Abdullah. Foto MUSA

“Kami menjangkakan perlawanan itu akan berlangsung sengit, tetapi saya tetap percaya pasukan telah bersiap sedia menggalas misi besar untuk kempen kali ini, apatah lagi kami memasang impian untuk sekurang-kurangnya mara ke separuh akhir,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau juga menzahirkan harapan tinggi terhadap kemampuan Pengendali Melaka United Zainal Abidin Hassan merencana taktikal berkesan, memandangkan statusnya selaku pemain legenda yang pernah menjulang Piala Malaysia sebanyak empat kali iaitu pada 1981, 1982, 1986, 1997, selain turut pernah membantu Pahang menjulang Piala Malaysia pada 2014 sebagai Ketua Jurulatih.

“Sudah pasti pasukan meletakkan harapan tinggi kepada pemain dan kepimpinan Zainal. Saya yakin beliau mempunyai strategi ampuh untuk mengharungi musim ini dengan cemerlang,” katanya lagi.

Dalam pada itu, khabar angin bertiup kencang mengaitkan lokasi perlawanan antara Melaka United dan Selangor yang sepatutnya dijadual di Stadium Hang Jebat, Ahad ini, dipindahkan.

Muhammad Akram berkata, hal itu kerana Selangor difahamkan ingin membuat permohonan kepada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk menukar ‘venue’ perlawanan ke stadium berkecuali.

“Sepatutnya memang bermain di Stadium Hang Jebat, Melaka memandangkan status Selangor yang kini berada di zon merah tidak dapat menggunakan stadiumnya sendiri. Namun, difahamkan mereka ada ura-ura untuk memohon stadium berkecuali.

“Buat masa ini masih belum ada ketetapan dan kita masih menunggu keputusan daripada pentadbir Liga Malaysia,” katanya lagi.

Views:

327
Kongsi :
Previous post MBMB musnahkan kawasan pembiakan Aedes
Next post COVID-19: Kes sporadik di Tanjung Minyak
Ubah saiz-+=