Bukan tangkap budak, tapi…

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

PAYA RUMPUT 14 Januari – “Jangan salah anggap, kita bukan tangkap anak-anak ini sebaliknya selamatkan mereka,” jelas Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin.

Menurut Kalsom, susulan operasi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi menangani isu kanak-kanak dieksploitasi untuk mencari sumber kewangan bagi menampung keluarga turut disertainya baru-baru ini, mengundang rasa kurang senang segelintir pihak dan menganggap beliau cuba menyekat rezeki mereka.

Jelas Kalsom, selaku Exco yang bertanggungjawab, beliau bersama JKM cuba mencari penyelesaian terbaik dalam membantu daripada aspek kebajikan kanak-kanak berkenaan.

“Kita tiada niat tidak baik atau mahu sekat rezeki mereka sebaliknya dalam perkara ini menjadi hasrat kita selamatkan anak-anak berkenaan daripada terus dieksploitasi oleh keluarga sendiri.

“Penjaga atau ibu bapa perlu faham, kanak-kanak ini bawah umur dan tidak sepatutnya berada di luar apatah lagi pada lewat malam selain mereka juga memerlukan pengawasan,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu berkata demikian ketika hadir melawat proses pendaftaran Pengkalan Data Utama (PADU) di RSK Cheng, hari ini.

Hadir sama Pengarah JKM negeri Zulkifli Hanifah dan Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM) negeri, Abang Saifulhadi Abang Ibrahim.

“Saya sendiri pernah berdepan situasi apabila ada pasangan suami isteri yang sihat tubuh badan sanggup mengheret anak kecil mereka untuk menjual tisu sehingga menimbulkan rasa tidak selesa pengunjung.

“Bersempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) kita tidak mahu situasi ini merencatkan keseronokan pengunjung dan pelancong, ada antara mereka ini bertindak mendesak serta memaksa orang untuk membeli barangan jualan dibawa,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3896
Kongsi :
Previous post JKM, Jabatan Perangkaan santuni warga RSK daftar PADU
Next post Ketua polis balai didakwa kasari orang awam dipindah ke jabatan lain
Ubah saiz-+=