Bung Moktar letak jawatan Presiden SAFA

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

KOTA KINABALU, 8 Jan – Datuk Seri Bung Moktar Radin hari ini mengumumkan peletakan jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) berkuat kuasa serta-merta.

Bung Moktar, yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah dalam kenyataan hari ini berkata peletakan jawatan itu yang disandangnya sejak Jun 2021 dibuat atas kerelaan dirinya selain mahu memberi tumpuan sepenuh kepada kerjaya politik.

Beliau berkata walaupun mengakui sedikit kecewa dengan pencapaian turun naik Sabah FC, namun sepanjang beliau mengetuai badan induk bola sepak itu, SAFA berupaya melakukan perubahan selain dapat melaksanakan pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi.

“Saya tetap gembira kerana sedikit sebanyak berjaya membawa perubahan kepada pentadbiran SAFA dan beberapa kejayaan pasukan Sabah FC walaupun ia di tahap yang masih belum memuaskan.

“Mengurus badan induk bola sepak khususnya Sabah FC memerlukan sokongan serta dukungan semua pihak terutamanya daripada peneraju utama kepimpinan negeri yang memerlukan kesungguhan untuk membantu SAFA khususnya pasukan Sabah FC melangkah lebih jauh ke hadapan,” katanya.

Pada Disember 2020, Ahli Majlis Tertinggi SAFA sebulat suara bersetuju melantik Bung Moktar sebagai Pemangku Presiden SAFA, sebelum disahkan secara rasmi sebagai Presiden SAFA dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa SAFA pada Jun 2021.

Bung Moktar menegaskan beliau tidak mempunyai agenda peribadi sejak menerajui SAFA, malah terpaksa berhadapan pelbagai cabaran daripada segi kekangan waktu dan sumber kewangan untuk memajukan mutu serta pencapaian sukan bola sepak negeri ini.

“Menjadi harapan saya dan semua peminat yang selama ini menyanjung tinggi pasukan bola sepak Sabah agar terus memberikan sokongan kepada pengganti saya,” katanya.

Beliau berkata surat peletakan jawatannya secara rasmi akan dihantar kepada SAFA dalam masa terdekat untuk dimuktamadkan.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4036
Kongsi :
Previous post KPM rangka pelan pemulihan pelajar keciciran – Fadhlina
Next post Pelajar sekolah antara ditahan bantu siasatan penemuan dadah lebih RM1.4 juta
Ubah saiz-+=