Cadangan naik taraf lesen motosikal B2 kepada B diperincikan akhir tahun ini – JPJ
BANDA HILIR 31 Oktober – Keputusan cadangan menaik taraf lesen memandu motosikal bagi kelas B1,B2, B penuh kepada B secara automatik akan dimuktamadkan sebelum akhir tahun ini.
Timbalan Ketua Pengarah Perancangan dan Operasi Jabatan Pengangkutan Jalan, Aedy Fadly Ramli berkata ketika ini kajian berhubung perkara terbabit sedang dalam peringkat Kementerian Pengangkutan (MOT) dan akan diperincikan dalam tempoh terdekat.
Katanya, kajian berhubung perkara itu akan dikemukakan oleh Kementerian Pengangkutan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Zahid Hamidi selewat-lewatnya akhir tahun ini.
“Perkara ini kita akan selesaikan pada tahun ini juga dan di peringkat JPJ kita sedang melaksanakan kajian di mana selepas selesai kajian akan diteruskan dengan pembentangan untuk peringkat perincian sebelum ke peringkat seterusnya.
“Dan keputusan berhubung penggabungan lesen ini hanya perlu diputuskan di peringkat MOT dan tidak perlu dibentang di Parlimen untuk diluluskan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Lesen Memandu Sempena Program MyLesen (B2) Peringkat JPJ Negeri Melaka di Dewan Muzium Rakyat di sini hari ini.
Hadir sama Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer dan timbalannya, Zahari Abd Kalil dan Pengarah JPJ negeri, Muhammad Firdaus Shariff.
Untuk rekod, Ogos lalu, Ahmad Zahid mencadangkan untuk menaik taraf lesen memandu motosikal bagi kelas B2 kepada B secara automatik dan cadangan itu akan dibawa ke MOT untuk diteliti sebelum dilaksanakan pada tahun hadapan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.