Kejohanan e-sukan cungkil bakat orang muda

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

BANDA HILIR 31 Oktober – Penganjuran kejohanan sukan elektronik (e-sukan) menjadi medan terbaik bagi mencungkil bakat baharu untuk digilap, seterusnya mewakili Melaka ke peringkat yang lebih tinggi.

Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, VP Shanmugam berkata, Kerajaan Negeri sentiasa menyokong dan amat menggalakkan penganjuran kejohanan sedemikian, sekali gus melahirkan lebih ramai jaguh e-sukan.

Shanmugam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gadek berkata, usaha untuk meneroka dan memartabatkan e-sukan perlu diperhebatkan lagi kerana ia adalah antara cabang dalam industri digital.

“Tahun ini Kerajaan Negeri memperuntukkan RM200,000 bagi menggalakkan penganjuran kejohanan e-sukan.

“Ini membuktikan Kerajaan Negeri amat menitikberatkan hal pembangunan sukan berkenaan,” katanya ketika berucap merasmikan Kejohanan Melaka Esport Saga 2023, di sebuah pusat beli-belah, di sini, baru-baru ini.

Hadir sama, Presiden Kelab Sukan Elektronik Nusa Kesateria, Hafizuddin Othman dan Ketua Inovasi Perniagaan dan Penglibatan Jenama MDSA Resources Sdn. Bhd. Chua Ken Jim.

Beliau berkata, kejohanan itu menjadi gelanggang 491 peserta mewakili Melaka dan negeri luar berentap merebut gelaran juara bagi tiga kategori dipertandingan iaitu ‘Mobile Legend Bang-Bang’ (MLBB), ‘PlayerUnknown’s Battleground’ (PUBG) dan ‘eFootball’.

Pada majlis sama Shanmugam turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara ElementX Mall menerusi MDSA Resources Sdn Bhd dengan Kelab Sukan Elektronik Nusa Kesateria.

Menurut beliau, kerjasama strategik antara kedua-dua pihak itu diyakini mampu mengembang dan memperkasakan lagi e-sukan di Melaka.

“Saya difahamkan, ElementX Mall menerusi MDSA Resources akan menjalinkan kerjasama strategik dengan Kelab Sukan Elektronik Nusa Kesateria dalam penganjuran kejohanan e-sukan di negeri ini.

“Jadi saya berharap jalinan kerjasama antara kedua-dua pihak bakal memberi manfaat kepada penggiat dan industri e-sukan di Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

787
Kongsi :
Previous post Cadangan naik taraf lesen motosikal B2 kepada B diperincikan akhir tahun ini – JPJ
Next post Cari formula kurangkan kemalangan libatkan pelajar
Ubah saiz-+=