Calon KM sudah ada, tapi PN masih berahsia

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

PENGKALAN BATU 16 Nov – Perikatan Nasional (PN) telah mempersetujui calon bagi jawatan Ketua Menteri Melaka adalah daripada Bersatu sekiranya diberi mandat untuk menerajui Negeri Melaka.

Pengarah Pilihan Rayanya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, nama calon tersebut semenangnya sudah dipersetujui semua parti gabungan dalam PN, namun ia tidak dijadikan tumpuan utama buat masa ini.

Sebaliknya, beliau berkata, fokus PN pada masa sekarang ialah untuk memberikan maklumat kepada pengundi di Melaka.

“Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah membuat pengumuman bahawa calon Ketua Menteri Melaka telahpun ditentukan dan ianya adalah daripada Bersatu mewakili PN.

“Kita telah mempunyai calon yang telah dipersetujui oleh PN untuk ditabalkan sebagai Ketua Menteri sekiranya Insya-Allah kita mendapat sokongan majoriti daripada pengundi dan rakyat Negeri Melaka.

“Namun tumpuan kita hari ini ialah untuk memberikan maklumat kepada pengundi melaka kerana dalam prosedur operasi standard (SOP) yang baru ini ramai calon-calon baru yang tidak dapat mendekati pengundi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan di Pasar Besar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di sini, hari ini.

Ujar beliau, PN juga sedang mencari pendekatan baharu mendekati pengundi untuk menerangkan manifesto PN yang terdapat enam teras di dalamnya.

“Kita juga memaklumkan tentang kejayaan PN dalam tempoh dua tahun ini untuk menjaga kesihatan dan pulihkan ekonomi, ini keutamaan kita,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

572
Kongsi :
Previous post PRN Melaka: Hampir 40 peratus keluar mengundi awal setakat 11 pagi
Next post Hati-hati buka pintu sempadan negara – Azmin
Ubah saiz-+=