Hati-hati buka pintu sempadan negara – Azmin

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

PENGKALAN BATU 16 Nov – Kerajaan mengambil pendekatan berhati-hati untuk membuka pintu sempadan negara bagi memastikan kesihatan rakyat di negara ini terus dilindungi dari penularan wabak COVID-19.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata walaupun pergerakan rentas negeri dibenarkan namun keputusan membenarkan pengunjung dari luar negara masuk ke Malaysia belum diputuskan.

“Walaupun pergerakan rentas negeri dibenarkan tetapi rakyat masih lagi berhati-hati kerana kes-kes baru COVID-19 semakin meningkat dan kes-kes kemasukan ke hospital juga meningkat.

“Jadi kerajaan juga berhati-hati untuk buka sempadan buat pengunjung luar negara selain rakyat juga berhati-hati untuk bebas bergerak…ini satu petanda yang baik kerana mereka mengambil tindakan kendiri menjaga dan melindungi kesihatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan di Pasar Besar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di sini, hari ini.

Beliau berkata, pembukaan sempadan negara itu akan dilaksanakan secara berperingkat dan tidak perlu tergesa-gesa bagi memastikan rakyat sentiasa menjaga kesihatan diri.

“Ada baiknya kita tidak ‘rush’ sehingga berlaku penularan, kalau kita tidak berhati-hati kita akan hilang kelonggaran dan kemudahan diberikan kerajaan pada hari ini untuk bergerak.

“Jadi sementara kita membuka sektor ekonomi kita juga mengingatkan rakyat untuk menjaga kesihatan mereka,” katanya.

Terdahulu Azmin telah mengadakan lawatan dan menyantuni peniaga-peniaga serta pengunjung di Pasar Besar MBMB tersebut.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

462
Kongsi :
Previous post Calon KM sudah ada, tapi PN masih berahsia
Next post Perjuangan jentera BN tidak pernah luntur
Ubah saiz-+=