Calon Timbalan Speaker baharu Melaka umum hujung Jun

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

KUALA LINGGI 24 April – Kerajaan Negeri bakal mengumumkan pelantikan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri yang baharu sebelum persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada hujung Jun ini.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Datuk Wira Ibrahim Durum berkata, setakat ini terdapat dua calon telah disenaraikan, namun ia masih belum diputuskan.

“Kita akan lantik Timbalan Speaker baharu beberapa hari sebelum sidang DUN pada hujung bulan Jun ini.

“Ada dua nama dikemukakan untuk calon baharu ini, yang pasti calon ini lebih ke arah perpaduan selaras dengan Kerajaan Perpaduan Malaysia MADANI,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri DUN Kuala Linggi anjurannya bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Linggi, Rosli Abdullah di Japerun Kuala Linggi di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, VP Shanmugam; Adun Klebang Datuk Lim Ban Hong dan lain-lain kenamaan.

Dalam pada itu, Ibrahim berkata, beliau tidak menolak mana-mana pelantikan calon timbalan speaker baharu daripada komponen Pakatan Harapan (PH).

“Yang pasti calon baharu dilantik ini nanti lebih ke arah Kerajaan Perpaduan, sekarang kita masih berbincang untuk mengenalpasti dua calon itu,” katanya.

Untuk rekod Timbalan Speaker sebelum ini Datuk Khaidhirah Abu Zahar telah dilantik sebagai Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1569
Kongsi :
Previous post Kek pengganti biskut raya
Next post TYT, KM beraya dengan orang Kuala Linggi
Ubah saiz-+=