Kek pengganti biskut raya

Masa Membaca:2 Minit, 5 Saat

PAYA RUMPUT 24 April – Mungkin ramai yang lebih memilih biskut raya sebagai juadah untuk dihidangkan tetamu, namun sebenarnya juadah itu boleh dipelbagaikan.

Bagi Jamiah Tulisman, 49, dia mahu mencipta kelainan apabila cuba memperkenalkan kek pelbagai perisa (assorted cake) sebagai tarikan baharu kepada pelanggan pada Aidilfitri tahun ini.

Ibu kepada empat anak yang mengusahakan sebuah kedai bakeri di Cheng, di sini, berkata, sebaik memperkenalkan juadah tersebut, dia mula menerima tempahan daripada orang ramai yang mahu mencuba keunikan kek mini yang dijualnya bagi menjamu tetamu yang datang beraya.

“Macam-macam jenis pencuci mulut yang saya buat sebelum ini seperti creampuff, cheese tart, pavlova, tetapi ia dapat sambutan sekejap sahaja, jadi saya fikir strategi yang lain untuk tarik hati pelanggan.

“Sebab itu sekarang saya hasilkan ‘assorted cake’, mula-mula tu saya hanya memuat naik sekeping gambar di media sosial ‘Facebook’ tentang kek ini, tak sangka pula terima tempahan daripada vendor dessert dan pengusaha stesen minyak di negeri ini.

“Sejak itu saya terus aktifkan menerima tempahan kek ini, mungkin orang tertarik kerana rupa kek tersebut dan rasa yang pelbagai, ditambah pula saya hanya menjual RM12 setiap pek yang mempunyai enam potongan kek,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

IMG_20230423_234720_433
Tempahan kek mini yang dipesan pelanggan di kedai bakeri milik Jamiah Tukisman, 49 di Cheng, Melaka. Foto Iqmal Haqim Rosman

Menurut Jamiah, biarpun banyak cabaran terpaksa ditempuhi sepanjang menghasilkan kek berkenaan, namun dia tidak pernah putus asa dan cuba sehingga berjaya.

“Banyak kali cuba buat tak jadi sampai kena buang semua bancuhan, sebelum ini buat perisa red velvet, pandan, vanila dan coklat, mula-mula orang suka tetapi lama-lama dah kurang permintaan.

“Jadi sekarang saya buat perisa vanila, krim vanila, strawberi vanila salut kelapa, kek gulung coklat dan kek potong coklat yang sudah ditentukan setiap ukurannya.

“Dengan cara ini orang yang gemarkan makan kek pelbagai perisa dengan harga yang murah boleh tempah atau beli di kedai saya,” katanya yang memulakan perniagaan itu sejak tahun 2021.

Tambahnya, dek permintaan yang semakin menggalakkan, dia menghasilkan lebih 15 biji kek untuk setiap perisa dalam sehari bagi menampung permintaan.

“Untuk hasilkan satu kek kita perlu bakar dahulu, tunggu sehingga sejuk baharu boleh potong, saya ambil masa sehari itu hanya untuk bakar kek, esok harinya baharu kita boleh potong dan susun dalam bekas.

“Daripada segi harga setakat ini alhamdulillah pelanggan tidak pernah merungut, tempahan pula sentiasa ada pada setiap hari, cuma tidaklah setiap hari terima tempahan yang banyak,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1552
Kongsi :
Previous post Aidilfitri paling bermakna bekas penghuni tirai besi
Next post Calon Timbalan Speaker baharu Melaka umum hujung Jun
Ubah saiz-+=