Capaian 5G Melaka diperluas menjelang akhir tahun

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

AYER KEROH 26 Oktober – Kerajaan Negeri yakin sasaran 89 peratus liputan rangkaian 5G akan dicapai pada pertengahan Disember ini, kata Exco Sains, Inovasi, Teknologi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan.

Beliau berkata, perluasan liputan itu akan membabitkan sebanyak 225 lokasi seluruh Negeri Melaka.

Katanya, setakat ini sebanyak 69 peratus ketersediaan capaian rangkaian itu telah ada di kawasan berpenduduk.

“Hanya ada 26 lokasi yang belum mendapat rangkaian 5G, jadi kita yakin pertengahan Disember ini kesemua lokasi berkenaan akan mendapat liputan sekali gus memberi manfaat kepada penduduk di negeri ini.

“Segala proses permohonan mendapatkan rangkaian 5G juga telah kita singkatkan dan segerakan selepas mengadakan mesyuarat penyelerasan bersama agensi terlibat baru-baru ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Apresiasi Semarak Gemilang 2023 Jabatan Penerangan Malaysia (JaPeN) Melaka di sebuah restoran di Sungai Putat, di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem; Pengarah Bahagian Perkhidmatan Komunikasi Dan Pembangunan Masyarakat JaPeN, Erwin Khairul Ahmad dan Pengarah JaPeN Melaka, Shahrom Ravin Daram Abdullah.

Sebelum ini Fairul Nizam memaklumkan ketersediaan capaian rangkaian 5G akan diperluaskan ke beberapa lokasi lain agar lebih menyeluruh di negeri ini.

Menurut beliau, tambahan lokasi rangkaian 5G baharu itu membabitkan 10.5 peratus liputan di Melaka yang akan dinilai dan dikaji semula.

“Ini adalah lanjutan pengumuman Kerajaan Persekutuan untuk menukar model penyedia tunggal rangkai 5G kepada perlaksanaan model dwi rangkaian 5G bermula Januari 2024,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

677
Kongsi :
Previous post Melaka teliti dua lagi lokasi ‘No Right Turn’
Next post MPHTJ komited siapkan 70 projek untuk rakyat
Ubah saiz-+=