‘Car free zone’ disambut baik peniaga

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

MASJID TANAH 20 Ogos – Pelaksanaan percubaan peringkat pertama ‘car free zone’ atau zon bebas kenderaan di kawasan tumpuan pelancong sekitar Banda Hilir, semalam, menerima maklum balas positif daripada peniaga.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, antara maklum balas diberikan oleh peniaga adalah, mereka dapat melanjutkan waktu operasi hingga ke tengah malam.

“Bila tidak ada kenderaan, ramai mengambil kesempatan untuk keluar membeli belah atau menikmati makan malam di lokasi tumpuan pelancongan sekitar Banda Hilir, pengunjung cukup ramai.

“Berhubung aliran trafik pula boleh dibuat kajian hasil percubaan pertama, nampaknya tidak begitu sesak. Aliran trafik di lingkaran keluar dari kawasan bangunan merah dapat dikawal dengan baik,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Belia Negara Peringat Negeri Melaka 2023 (HBN23) di Kompleks Sukan Masjid Tanah, di sini, hari ini.

Hadir sama pada sambutan itu Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, VP Shanmugam serta Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan Belia Jabatan Belia dan Sukan Negara, Dr. Zainah Shariff.

Turut hadir Presiden Majlis Gabungan Belia Melaka, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali; Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Melaka Khairul Adri Rosli dan Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Negeri Melaka Mohd Asri Ninggal.

Terdahulu Melaka Hari Ini melaporkan laluan sepanjang 2.3 kilometer membabitkan destinasi tumpuan pelancong sekitar Banda Hilir ditutup kepada semua kenderaan dari jam 6 petang hingga 12 tengah malam, pada setiap Sabtu, bermula 19 Ogos.

Penutupan peringkat percubaan itu membabitkan laluan di Bangunan Merah, hadapan Menara Taming Sari dan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan.

Inisiatif itu dilaksanakan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

7258
Kongsi :
Previous post Lahir belia berkualiti, patriotik
Next post Pelbagai platform media digunakan promosi TMM2024
Ubah saiz-+=