Cari pasal buat laporan polis palsu

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

AYER KEROH 4 Dis. – Angkara tidak mahu membayar denda bagi membuat dokumen pengenalan baharu, seorang jurujual telefon membuat laporan polis palsu kononnya dia diragut.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, lelaki berusia 27 tahun itu membuat laporan polis pada Ahad (29 November) mengatakan diragut di Kota Shahbandar, kira-kira jam 9.30 malam menyebabkan dia kerugian kira-kira RM3,000.

Beliau berkata, siasatan awal dijalankan kemudian mendapati kejadian ragut itu hanya satu ‘prank’ yang dirancang isteri pengadu sendiri.

“Susulan itu wanita terbabit yang juga berusia 27 tahun kemudian ditangkap untuk siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan pada Selasa.

“Bagaimanapun siasatan lanjut yang dijalankan mendapati ‘prank’ terbabit adalah rekaan dan laporan dibuat pengadu adalah palsu agar boleh mengelak daripada dikenakan denda bagi membuat dokumen pengenalan baharu,” katanya.

Beliau berkata, pengadu kemudian diambil tindakan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan manakala isterinya pula mengikut Seksyen 182/ 109 Kanun Keseksaan.

Mengulas lanjut Afzanizar berkata, pihaknya mengingatkan orang ramai agar tidak membuat laporan polis palsu bagi kepentingan peribadi kerana polis memandang serius perkara ini.

“Berdasarkan rekod Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah dari Januari hingga November 2020 sebanyak 59 laporan polis palsu diterima membabitkan kes ragut/ samun.

“Manakala 28 kes sudah dituduh di mahkamah. Mereka yang didapati berbuat demikian berdepan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan,” katanya.

Views:

572
Kongsi :
Previous post Zainal kekal bimbing Melaka United
Next post i-Sinar: Mudahkan pengeluaran KWSP – rakyat
Ubah saiz-+=