‘Ceriakan’ warga emas beraya tanpa anak-anak di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

KLEBANG 5 Mei. – Pemimpin kawasan di seluruh Melaka disaran mengambil tahu perkembangan warga emas tinggal berseorangan yang tidak dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama anak-anak susulan larangan rentas negeri yang dikuatkuasakan bagi membendung penularan COVID-19.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, pemimpin setempat termasuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan sidang perlulah memainkan peranan masing-masing dalam memastikan tiada yang berasa tersisih ketika menyambut Syawal tidak lama lagi.

Beliau berkata, selain melakukan ziarah dan bertanyakan khabar, semua pihak juga boleh menghulurkan sumbangan berbentuk makanan dan sebagainya untuk menceriakan golongan itu yang mungkin menyambut perayaan tanpa insan tersayang.

“Jika ada warga emas yang tinggal berseorangan dan tidak dapat menyambut raya bersama anak-anak, eloklah pemimpin setiap kawasan menjengah dan bertanya khabar mereka.

“Bawakan juga makanan dan sumbangan lain kepada mereka. Saya percaya sikap ambil berat yang ditunjukkan mungkin ia akan menceriakan dan sejukkan hati mereka.

“Saya faham ada yang sedih dan kecewa, namun mahu atau tidak, kita semua terpaksa mematuhi SOP yang ditetapkan dalam usaha memutuskan rangkaian COVID-19 di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan Ramadan kepada penduduk kurang bernasib baik di Parlimen Tangga Batu bertempat di Kompleks Japerun Klebang, di sini.

Dalam pada itu, Sulaiman berikrar untuk menjadikan Melaka sebagai negeri yang mementingkan kebajikan rakyat terutama sepanjang tempoh negara dilanda pandemik COVID-19.

Beliau berkata, untuk merealisasikan hasrat itu setiap pemimpin perlu menjadikan nilai menghulur tangan dan meringankan beban sebagai santapan nurani mereka bagi menjaga kesejahteraan negeri dan rakyat di negeri ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

367
Kongsi :
Previous post Qari, qariah Indonesia johan Tilawah Al-Quran Antarabangsa DMDI kali ke-11
Next post Jual dadah nak cari ‘duit raya’
Ubah saiz-+=