Jual dadah nak cari ‘duit raya’

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

AYER KEROH 4 Mei – Dua duda yang memberi alasan mahu mencari ‘duit raya’ dengan menjual dadah adalah antara 47 individu ditahan dalam Op Tapis Khas Bersepadu Ahad lalu.

Operasi dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Melaka membabitkan 67 pegawai dan anggota bermula pada jam 12 tengah malam dan berakhir enam jam kemudian menahan semua suspek berusia antara 19 hingga 60 tahun.

Ketua JSJN negeri, Superintendan Zulkiflee Rashid berkata, kedua-dua suspek yang bekerja sebagai buruh masing-masing berusia 44 dan 46 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Felcra Bukit Sedanan, Selandar jam 1.30 pagi.

KETUA Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri
Superintendan Zulkiflee Rashid Gambar fail

Katanya, pemeriksaan polis turut menemukan sebuah beg mengandungi tiga paket plastik lutsinar berisi ketulan dadah jenis heroin seberat 26 gram dan satu paket plastik lutsinar mengandungi dadah disyaki jenis syabu seberat 3.2 gram, yang keseluruhannya bernilai RM900.

“Hasil soal siasat kedua-dua suspek yang juga merupakan duda itu mengakui baharu menjalankan aktiviti pengedaran dadah heroin dan syabu di kawasan Selandar untuk dengan alasan mahu mencari ‘duit raya’.

“Semakan mendapati suspek berusia 44 tahun menpunyai tiga rekod jenayah lampau membabitkan dadah manakala seorang lagi suspek mempunyai empat rekod jenayah lampau kes sama.

“Turut dirampas sebuah motosikal jenis Yamaha 15ZR bernilai RM10,000 yang dipercayai digunakan suspek bagi aktiviti pengedaran dadah tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 12 (2) akta sama,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Zulkiflee berkata dalam operasi sama, polis menahan 44 lelaki dan tiga wanita dipercayai terbabit dalam aktiviti memiliki dan mengedar dadah.

Katanya, semua suspek berkenaan ditahan dalam 50 serbuan dijalankan di sekitar daerah Alor Gajah, Melaka Tengah dan Jasin.

“Dalam serbuan itu, polis merampas dadah jenis heroin seberat 33.68 gram; syabu seberat 12.20 gram dan cecair ketum seberat 32.7 liter, yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM2,750,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 12(3)/30(3)/15(1)(a) akta sama.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

826
Kongsi :
Previous post ‘Ceriakan’ warga emas beraya tanpa anak-anak di Melaka
Next post Keenakan rendang lokan
Ubah saiz-+=