Keenakan rendang lokan

Masa Membaca:2 Minit, 50 Saat

MASJID TANAH 5 Mei. – Masakan rendang popular menggunakan ayam atau pun daging dan sering dijadikan sebagai menu utama di pagi Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi.

Namun, kenaikan harga bahan makanan itu yang pernah mencapai RM14 untuk ayam dan daging RM50 sekilogram boleh membuatkan pengguna memikirkan alternatif bagi menggantikan ayam atau daging pada masakan rendang selepas ini.

Apa kata Aidilfitri tahun ini, kita cuba tukar ayam atau daging kepada lokan pula kerana harganya murah, malah lebih segar dan rasanya lebih manis seperti udang sungai.

Bagi penggemar makanan laut segar ini, khususnya dalam daerah Paya Lebar, mereka pasti mendapatkan bekalan dengan Pak Zainal Lokan atau Zainal Md. Ali yang mengusahakan Bukit Taman Lokan Paya Lebar sejak lebih 30 tahun lalu.

ZAINAL menunjukkan sebahagian lokan yang terdapat di Taman Lokan miliknya dengan dibantu cucunya, Azizan Mohd, 16 tahun.

Menurut Zainal, permintaan lokan untuk dijadikan masakan rendang meningkat menjelang perayaan Aidilfitri khususnya dalam kalangan peniaga di sekitar Masjid Tanah dan Kuala Sungai Baru.

“Ada pelanggan yang datang dari jauh seperti Kedah dan Perlis semata-mata mahu mendapatkan bekalan lokan ini dan disebabkan permintaan yang banyak, ada peniaga menjual RM50 untuk sekilogram lokan yang siap dibuang kulit. Bagi saya sendiri, saya hanya menjual 80 sen seekor lokan dan RM1 untuk peniaga restoran.

“Bagaimanapun, pada masa ini agak sukar untuk mendapatkan jualan lokan di pekan-pekan memandangkan banyak runggutan daripada pembeli yang mendakwa lokan yang dijual tidak berkualiti dan rosak dan sebab itu tidak kelihatan lagi peniaga menjual bahan tersebut,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini (MHI) baru-baru ini.

Bagi membuktikan lokan setanding rasa ayam dan daging pada masakan rendang,  saudara Zainal iaitu Salmah Abu Bakar, 49, membuat demonstrasi masakan itu dan menjualnya kepada penduduk setempat terutama pelanggan tetap gerai makannya di Kampung Paya Lebar.

Rendang lokan yang masih panas dijual pada harga RM10 untuk 10 ekor lokan laris terjual dalam masa tidak lebih 20 minit.

Sementara itu menurut Zainal, Taman Lokan yang diusahakannya seluas 0.38 hektar mengandungi lokan yang berkualiti, segar dan bersaiz besar dan hanya perlu menggunakan empat hinggga enam biji lokan untuk apa sahaja jenis masakan sudah mencukupi.

ZAINAL menunjukkan perancangannya membina pentas mini Taman Lokan yang diusahakannya sejak lebih 30 tahun lalu di Kampung Paya Lebar, Masjid Tanah.

Katanya, dia hanya menggunakan kira-kira 20 ekor lokan sebagai benih ketika mula-mula membuka taman lokan tersebut pada 2007 dan kini sudah membiak kepada beribu-ribu lokan bersaiz besar.

Ujar Zainal, taman lokannya diusahakan bersebelahan Sungai Linggi yang kaya dengan pelbagai hasil hidupan sungai selain udang, ia menjadi tumpuan pemancing menangkap ikan senangin, sembilang dan serkot.

Beliau yang pesara tentera berkata, pelbagai agensi kerajaan antaranya Majlis Perbandaran Alor Gajah, Jabatan Perikanan negeri, Tenaga Nasional Berhad dan Kolej Komuniti pernah tampil membantu dan menghulurkan bantuan membina infrastuktur di situ demi keselesaan pengunjung ke taman lokan miliknya itu.

“Saya berhajat untuk membina laluan pejalan kaki dan pentas mini di taman bagi memenuhi keperluan kumpulan tertentu yang datang ke sini untuk sesi taklimat dan program motivasi,” katanya.

Bagi beliau, lokan adalah sumber khazanah laut negara yang cukup bernilai dan penting kepada generasi baharu untuk mengenalinya dan disebabkan alasan itu juga dia sanggup bersusah payah mengusahakan taman lokan itu bagi dikunjungi oleh pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira masa atau menghadkan pada musim tertentu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1741
Kongsi :
Previous post Jual dadah nak cari ‘duit raya’
Next post Peniaga pau terima sumbangan kereta terpakai
Ubah saiz-+=